Semalam, mula-mula keluar spekulasi di sebuah portal berita berkenaan kemungkinan pengaturan politik baru yang berteraskan Melayu bakal dibentuk tidak lama lagi.
Dikatakan ia melibatkan usaha membawa masuk Pas ke dalam kerajaan yang bertujuan untuk menahan kemaraan DAP dan untuk menidakkan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-8.
Kemudian, Tun Mahathir Mohamad sebagai reaksinya kepada berita berkenaan menyatakan kesediaan dan bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa saja, termasuk Pas, tetapi tidak dengan Najib Razak.
“Saya bertemu semua orang termasuk pemberita yang tidak baik, bukan hanya pemberita yang baik.
“Itulah pekerjaan saya. Saya bertemu dengan semua orang walaupun orang-orang ini, musuh saya, ” katanya.
Diasak lagi, Tun Mahathir mengakui ada bertemu dengan Presiden Pas, Hadi Awang, tetapi tidak menyatakan bila ia diadakan.
“Mereka jumpa, mereka bimbang dengan beberapa perkara.
“Saya kata ia sangat mudah. Kalau kami buat sesuatu buruk, jangan sokong kami di Parlimen. Kalau kami buat yang baik, walaupun pembangkang , tapi apa yang dilakukan adalah baik untuk negara, tolong sokong kami. Itu sahaja.
“Jadi, ada beberapa perkara di Parlimen, perkara-perkara tertentu disokong, undang-undang tertentu dari kerajaan disokong oleh PAS jika ia baik, tetapi jika mereka fikir ia buruk, jangan sokong,” katanya.
Tidak lama kemudian beredar pula gambar Tun Mahathir bersama Hadi di meja makan dengan ditemani Tun Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Shamsuri Mokhtar dan Khairuddin Abu Hassan.
Gambar itu segera tular di media sosial dengan pelbagai pihak membuat ulasan serta andaian seolah-olah pertemuan itu baru berlaku dalam sehari dua ini.
Untuk seharian semalam, ramai yang teruja dengan berita dan gambar tersebut.
Melalui beberapa pemeriksaan sehingga malam tadi, bagaimanapun disahkan sebenarnya gambar itu adalah gambar lama.
Seorang kenalan mengesahkan bahawa Khairuddin pernah menunjukkan gambar tersebut kepadanya beberapa bulan yang lalu ketika berbual-bual berkenaan isu politik semasa.
Hahahahahaha…..
Apa tandanya?
Tandanya semua ini adalah permainan yang mungkin diatur oleh Khairuddin dan direstui oleh Tun Mahathir untuk mencetuskan pergolakan politik negara selepas UMNO menang di Kimanis.
Dalam hal ini ternampak Tun Mahathir sedang terdesak untuk menyelamatkan diri dan kedudukannya menjelang bulan Mei akan datang di mana desakan semakin kuat agar peralihan kuasa kepada Anwar dimuktamadkan dengan segera.
Kekalahan di Kimanis antaranya disebabkan kesan penolakan rakyat terhadapnya telah merebak hingga ke Sabah membuatkan ramai yang mendesak agar beliau melengah-lengahkan lagi peralihan kuasa.
Tun Mahathir seolah-olah cuba memancing perhatian ramai untuk menunjukkan beliau mendapat sokongan daripada Pas, sambil dengan itu cuba meretakkan hubungan Pas dengan UMNO yang sudah menjalin hubungan rasmi melalui Muafakat Nasional.
Terlihat Tun Mahathir ada kebimbangan tentang hubungan UMNO dan Pas menjelang PRU akan datang serta bagaimana Najib semakin mendapat sokongan berbanding dirinya.
Tetapi, dalam masa yang sama beliau masih lagi lapar dengan kuasa dan seperti enggan mematuhi janji peralihan kuasa dalam tempoh dua tahun sebagaimana yang selalu disebut dan diulang-ulangnya sebelum ini.
Kesian kan….sampai gambar lama pun terpaksa dikitar semula yang nampak sangat menyerlahkan keterdesakannya ketika ini. (ShahbudinHusin 21/01/2020)