Rombakan kabinet: Majoriti pemimpin Bersatu sokong
Kekalahan teruk dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai perlu ditangani dengan rombakan kabinet.
Majoriti ketua-ketua bahagian Bersatu mahukan rombakan sebagai satu cara segera mengembalikan keyakinan rakyat ke atas pemerintahan Tun Mahathir
“Ia merupakan pandangan majoriti,” kata sumber parti dipetik The Malaysian Insight.
Dr Mahathir mengumumkan kemungkinan rombakan Kabinet semalam selepas mesyuarat parti itu di Petaling Jaya.
Bagaimanapun, menurut sumber berkenaan, Dr Mahathir kurang yakin rombakan mampu selesaikan sebahagian besar masalah Pakatan Harapan (PH).
“Rombakan Kabinet bukan caranya untuk kembalikan kedudukan kerajaan. Walaupun kita buat rombakan sekarang, ia akan mengambil masa untuk seseoang itu membiasakan diri dengan tugas baharu dan mengambil masa untk menilai prestasi seseorang.
“Mungkin orang baru tidak memberikan prestasi baik dan akan ada lagi permintaan untuk rombakan Kabinet.
“Ini seperti rombakan Kabinet adalah jawapan kepada semua masalah kita. Ia bukan mudah,” katanya kepada media.
Antara sebab mengapa Dr Mahathir teragak-agak untuk merombak kabinet kerana Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 2020.
“Banyak perkara yang perlu dilakukan. Masalah besar kita tahun depan adalah kita akan jadi tuan rumah kepada sidang Apec dan kita tak boleh ambil mudah. Ia salah satu daripada persidangan antarabangsa terbesar,” katanya kepada pemberita semalam ketika ditanya bila rombakan Kabinet akan dilakukan.
Bagaimanapun secara umumnya, Dr Mahathir berkata beliau perlu membincangkan perkara itu dengan parti lain dalam PH, dan juga Parti Warisan Sabah.
Cakap-cakap mengenai rombakan kabinet timbul dan sejak PH menubuhkan kerajaan persekutuan tahun lalu, namun Dr Mahathir sentiasa menafikannya.
Kecuali Dr Mahathir dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, kesemua 26 ahli Kabinet adalah pertama kali menjadi menteri.
Sejak 18 bulan lalu, PH sering menerima kritikan awam berhubung beberapa isu melibatkan kos sara hidup, pendidikan, tol lebuh raya, bantuan kepada petani dan nelayan, penangguhan mekanisme subsidi petrol dan pembaharuan undang-undang dan institusi yang perlahan.
Daripada segi parti, PKR memiliki paling ramai menteri iaitu tujuh, Bersatu dan DAP masing-masing mempunyai enam, Amanah lima, Warisan tiga dan seorang dari Hindraf.