Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor diminta supaya tidak berdolak dalik berhubung penjualan 45 bidang tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tanpa tender terbuka seperti pendedahan media baru-baru ini.
Adnan juga dicabar supaya tidak lari dari membincangkan perkara sebenar dan bukannya berselindung di sebalik alasan ‘perumahan untuk golongan miskin bandar’ yang dilihat sengaja mengalihkan perhatian rakyat kata Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.
Menurutnya, Adnan sehingga kini gagal menjawab persoalan asal yang dibangkitkannya tentang proses penjualan tanah-tanah milik DBKL tersebut.
Kata Kok Wai, rakyat akan menanggung kerugian besar akibat penjualan tanah DBKL ‘secara rahsia’ tanpa tender terbuka lebih-lebih lagi dengan harga di bawah pasaran.
“Kalau tanah-tanah ini dijual secara tender terbuka, ada persaingan, sudah tentu ia akan memberi manfaat kepada rakyat.
“Jika DBKL dapat menjana keuntungan yang besar melalui proses tender terbuka ini, ia boleh dikembalikan semula kepada rakyat misalnya mengecualikan cukai pintu dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Roketkini.
Pengerusi DAP itu berkata, kementerian Adnan mahupun Kerajaan Persekutuan wajar mencontohi dasar penjualan tanah melalui tender terbuka seperti yang diamalkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor.
“Melalui tender terbuka, bukan sahaja akan ada ketelusan tetapi juga boleh pastikan tanah-tanah yang bernilai boleh dijual dengan harga yang wajar – ini sekaligus memberi manfaat yang besar kepada rakyat,” katanya lagi.
Kontroversi penjualan tanah milik DBKL itu tercetus minggu lalu berdasarkan jawapan bertulis parlimen kepada Ahli Parlimen Cheras .
Merujuk kepada pendedahan Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 2016, wujud keraguan urusniaga dan penyiasatan dijalankan ke atas 13 dari 66 bidang tanah DBKL yang dijual bagi membina kediaman Dasar Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip).
Pada 12 Disember lalu, Kok Wai bersama Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Tan Kee Kwong mengadakan satu pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mohd Amin Nordin Abdul Aziz di ibu pejabat DBKL.
Tidak senang dengan pendedahan tersebut, Adnan kemudia mendakwa kononnya isu itu dibangkitkan untuk mengelirukan rakyat dan mencabar Kok Wai supaya membuat laporan kepada Pencegahan Rasuah Malaysia.
Cabaran itu disambut apabila Kok Wai pada 15 Disember 2017 berkata beliau akan membuat laporan tersebut kepada agensi berkenaan.