Mungkinkah GST naik 9% selepas PRU 14?
Pengundi muda dan warga emas yang tidak berfikir panjang sebelum memangkah BN pada kertas undi perlu berwaspada pada pilihan raya umum (PRU) ke 14.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mungkin akan dinaikkan setinggi 9% selepas PRU14 berikutan kewangan negara yang semakin kritikal.
Beliau berkata, kerajaan akan memerlukan lebih banyak dana untuk pentadbiran dan pengurusan disebabkan beberapa projek besar negara akan bermula pada tahun hadapan seperti ECRL, keretapi laju ke Singapura, pelabuhan Melaka Gateway dan lain-lain yang menelan belanja lebih RM100 bilion.
Beliau juga meramal PRU mungkin dipanggil pada tahun ini berikutan kegagalan kerajaan mengawal kos sara hidup dan keadaan ekonomi mungkin lebih teruk pada tahun hadapan.
“Masa sangat suntuk untuk BN sebab rakyat sudah marah dengan mereka. PRU14 boleh diadakan dalam bulan November, justeru itu kita tunggu dan tengoklah. Saya masih ingat PRU10 telah diadakan pada 29 November 1999,” kata Raja Kamarul kepada Suara pakatan daily.
Situasi di Terengganu pula, katanya, tidak memihak BN. Pengundi di Kuala Terengganu sedang menunggu pembubaran Parlimen untuk mereka ‘mengajar’ BN.
“Jika anda turun padang di Kuala Terengganu, sokongan rakyat semakin bertambah untuk Pakatan Harapan .
“Kalau PRU14 diadakan pada bulan Mac atau pun April 2018, maka rakyat akan menjadi cukup marah dengan BN dan kami yakin akan dapat meraih kemenangan untuk membentuk kerajaan baru,” kata ahli parlimen Kuala Terengganu itu.
Tambah beliau, di kawasan bandar kecil dan kampung, kos sara hidup yang tinggi memberi kesan sangat amat teruk. Orang yang membuka perniagaan kecil mengeluh akibat GST.
Raja Kamarul juga membidas putar belit PM Najib kononnya kadar GST di India setinggi 28%. Katanya, GST 28% bukan untuk barangan keperluan harian.
Beliau sebaliknya memberi contoh kadar GST di United Kingdom (dipanggil VAT – Value Added Tax) misalnya 20% tetapi hampir semua jenis barang yang boleh dimakan dikecualikan dari VAT itu tidak sebagaimana di Malaysia.
“Kalau PRU14 pada tahun depan, PH akan mempunyai lebih masa untuk merancang dan meraih sokongan rakyat.
“Namun begitu, kita juga patut bersedia untuk PRU14 pada akhir tahun ini kerana ekonomi negara untuk 2018 dijangka akan lebih teruk daripada tahun ini,” katanya lagi.