Dedak RM5j : ‘Ini cara Najib nak cari kemenangan’ – Tun M
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad menyelar percubaan menyogok Syed Saddiq Abdul Rahman dan mengatakan ini merupakan “cara Najib Razak nak menang pilihan raya”.
Dr Mahathir berkata, selain ketua Pemuda Bersatu itu, terdapat juga pemimpin lain dari partinya yang mendapat tawaran sama.
“Ini memang usaha Umnolah. Terutamanya pembantu Najib seorang ni. Dialah orangnya yang selalu cuba beli orang.
“Offer sampai million-million nak beli orang tapi dia silaplah kalau dia ingat Syed Saddiq ni dia boleh beli,” kata Dr Mahathir kepada The Malaysian Insight di Kuala Lumpur hari ini.
“Bukan saja Syed Saddiq yang lain-lain pun dapat tawaran juga. Ini cara Najib nak cari kemenangan.”
Syed Saddiq hari ini mendedahkan beliau ditawarkan RM5 juta oleh “penasihat kanan perdana menteri” untuk meninggalkan parti Bersatu dan menyambung pengajiannya di Universiti Oxford.
Ketua Pemuda Bersatu itu berkata, tawaran RM5 juta berkenaan dibuat oleh “rangkaian sistematik dedak” yang dirancang penasihat kanan terbabit.
“Semua ini dirancang oleh penasihat kanan (Perdana Menteri) Najib Razak. Saya ditawarkan RM5 juta untuk tinggalkan Bersatu dan mengambil biasiswa ke Universiti Oxford.
“Saya tidak akan tinggalkan Bersatu dan akan terus di sini mendedahkan rangkaian sistematik dedak ini,” katanya pada sidang media di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu Presiden PH Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, PKR pernah mempunyai pengalaman pemimpin mereka menerima tawaran agar melompat parti.
“PKR pun ada pengalaman seperti ini, tapi saya tak pernahlah ditawar.
“Tapi memang yang lain tu ada yang saya tahu, ahli Parlimen sekarang pun ada.
“Tetapi Alhamdulillah kita berpegang kepada prinsip perjuangan,” kata Dr Wan Azizah yang juga presiden PKR dan ahli Parlimen Permatang Pauh kepada The Malaysian Insight.
Pada 4 Februari 2009, kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak yang dianggotai PKR, DAP dan PAS tumbang selepas 11 bulan memerintah disebabkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti.
Tiga daripadanya ialah ADUN PKR dan seorang dari DAP.
Langkah berani Syed Saddiq menolak umpan RM5 juta untuk menggadai perjuangan politiknya dengan meninggalkan Bersatu dan menyambung pelajaran di luar negara adalah perbuatan terpuji yang boleh jadi contoh baik kepada generasi muda, kata pemimpin PH.
Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Abdullah berkata tindakan Syed Saddiq itu langkah yang “berprinsip dan amat penting untuk dirinya secara peribadi”.
Bagaimanapun pengguna laman Facebook dan Twitter Malaysia dilihat tidak yakin dengan dakwaan Syed Saddiq hari ini bahawa beliau ditawarkan RM5 juta untuk meninggalkan Bersatu.
Ramai pengguna media sosial meminta beliau mengemukakan bukti “tawaran” itu dan tidak kurang juga yang memarahinya kerana mengadakan sidang media, tetapi tidak melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).