Kejayaan Sukan SEA bukan ‘feel good factor’ PRU 14 – Penganalisis
Kejayaan penganjuran Sukan SEA 2017 tidak cukup untuk memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya umum nanti, kata penganalisis politik.
Mereka percaya Perdana Menteri dan Pengerusi BN Najib Razak mungkin akan membubarkan parlimen selepas sidang Parlimen pada Oktober ini yang bakal menyaksikan pembentangan Bajet 2018 dan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Mereka membuat penilaian ini ketika desas-desus kuat mengatakan Najib mungkin akan mengadakan pilihan raya pada tahun ini untuk meraih tempias daripada semangat patriotisme yang memuncak susulan penguasaan Malaysia dalam temasya sukan serantau itu yang akan disusuli dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-60.
Prestasi skuad negara yang mengagumkan di Sukan SEA dan keadaan pakatan pembangkang yang kucar-kacir adalah dua alasan yang boleh membantu BN. Tetapi itu tidak cukup untuk mengalih perhatian umum daripada isu-isu seperti inflasi, gaji yang tidak naik serta pengangguran dalam kalangan belia.
“Semangat patriotisme mungkin akan memuncak,” kata penganalisis Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre.
“Tetapi ia tidak cukup untuk memberikan uumph atau jadi faktor ‘wow’ yang boleh meraih undi. Ini kerana walaupun dapat jumlah pingat yang banyak, orang akan tetap bertanya, mereka dapat apa?”
Malaysia kini mendahului pungutan pingat antara 11 negara ASEAN dengan 24 emas, 19 perak dan 15 gangsa. Pesaing terdekatnya Singapura dengan 12 emas, 12 perak dan 11 gangsa.
Dengan berbaki sembilan hari sebelum upacara penutup pada 30 Ogos, Malaysia selaku tuan rumah dijangka muncul juara keseluruhan pada temasya dwitahunan kali yang ke-29 ini.
Prestasi memberangsangkan kontinjen negara memikat ribuan peminat sukan yang memenuhi semua gelanggang acara di Lembah Klang.
Menteri Belia dan Sukan yang juga Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin tidak menolak kemungkinan pilihan raya akan diadakan tidak lama selepas temasya sukan itu selesai.
Keterujaan daripada acara sukan nasional yang kemudiannya diterjemahkan menjadi sokongan padu kepada pemerintah lebih relevan pada dekad-dekad sebelum 1980-an, kata penganalisis politik Ibrahim Suffian.
Kesatuan Soviet misalnya sering menggunakan sukan dan pencapaian luar biasa atletnya di Olimpik untuk menyebarkan sikap positif terhadap kerajaan yang menekan, katanya.
“Sebelum 80-an tidak ada ada Internet, jadi semua orang akan bertumpu pada saluran kerajaan. Sekarang kita ada banyak pilihan,” kata Ibrahim dari Merdeka Centre.
“Sekarang ini saya tidak fikir sukan boleh mengubah pilihan politik rakyat.”
Pengundi yang lebih celik politik hari ini sudah tentu akan melihat jauh melampaui semangat ceria daripada Sukan SEA dan mendesak jawapan yang lebih utuh kepada masalah mereka sehari-hari, tambah Hisomuddin.
Faktor lain yang lebih besar daripada Sukan SEA, yang mungkin akan diguna pakai oleh BN, ialah Bajet 2018 apabila pelbagai ganjaran, janji dan insentif dijangka akan diumumkan, katanya.
“Lebih banyak BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), bonus untuk kakitangan awam dan subsidi untuk nelayan akan jadi faktor ‘wow’ yang lebih kuat berbanding berapa banyak pingat yang kita dapat,” kata Hisomuddin.
Sidang Parlimen yang terakhir, kata Dr Wong Chin Huat dari Institut Pulau Pinang, juga akan jadi peluang bagi BN membentang dan meluluskan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Persempadanan semula semua kawasan parlimen dan dewan undangan negeri di seluruh negara itu sebelum ini dikritik oleh kumpulan pemerhati pilihan raya dan pembangkang sebagai berat sebelah.
Sekiranya diluluskan, persempadanan baru itu akan memberikan BN dan parti tunjangnya Umno kelebihan dalam pilihan raya melalui taburan pengundi yang terpesong.
“Pada akhirnya saya kira Najib mungkin mahu persempadanan baru itu digunakan supaya Umno dapat bertanding lebih banyak kerusi Melayu,” kata Wong yang mengetuai bahagian kajian politik dan sosial institut itu.
“Dan juga, persempadanan baru mungkin akan mengubah komposisi kaum dan menjadikan rundingan kerusi dalam kalangan pembangkang lebih sukar.”