KUALA LUMPUR. 25 JUN: Yang Dipertua PAS Padang Serai, Shaharuddin Ibrahim semalam memohon maaf kepada DAP dan kerajaan Pulau Pinang berhubung kenyataannya yang mendakwa azan akan dilarang di masjid-masjid jika DAP memerintah.
Namun, beliau kemudiannya memberi alasan berkata demikian kerana bimbang kononnya DAP menentang usaha menegakkan syariat Islam di negara ini kerana penentangan terbuka parti itu terhadap pindaan rang undang-undang 355 yang dibawa PAS di Parlimen baru-baru ini.
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, ramai pihak termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan pindaan tersebut, namun ada pihak yang lebih gemar menunding jari ke arah DAP.
“Tun Mahathir juga tidak setuju, malah ramai pihak dari UMNO BN pun tak sokong pindaan itu. Kenapa hanya DAP yang dilabel sebagai anti-Islam atau melarang azan di masjid?
“Kalau (Shaharuddin) sudah minta maaf, cukuplah. Kenapa beliau mahu memanjangkan isu dengan mengatakan DAP menentang usaha menegakkan syariat Islam di negara ini?
“Adakah kerana DAP sasaran paling mudah untuk difitnah berkaitan hal-hal Melayu dan Islam?” katanya.
Menurut Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu, sejak 2008, kerajaan Pulau Pinang dan DAP sentiasa menjadi mangsa fitnah untuk pihak-pihak tertentu, terutama berhubung isu-isu berkaitan Melayu dan Islam.
“Sejak 2008, fitnah kononnya larangan azan berlaku di masjid-masjid Pulau Pinang berleluasa. Namun, kita tahu perkara itu tidak masuk akal dan tidak mungkin berlaku.
“Islam dimartabatkan di Pulau Pinang tanpa menindas agama-agama lain. Itu yang kita amalkan selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, permohonan maaf dibuat oleh Shaharuddin itu jelas menunjukkan bahawa kenyataan beliau sebelum itu hanyalah fitnah yang berpandukan strategi politik semata-mata.
“Kita (DAP) harap selepas ini, tidak akan ada lagi pihak yang cuba memainkan isu kononnya DAP ini anti-Islam. Semuanya sudah terbukti fitnah,” jelasnya. – Roketkini.com