‘Siapakah pengganti Anwar Ibrahim?"
Buat sementara, soalan yang paling banyak ditanyakan rakyat ialah ‘siapakah pengganti Anwar Ibrahim?’
Dalam tinjauan ke atas penyokong pembangkang, persoalan ini semakin penting kerana sejak ikon reformasi itu dipenjarakan, gabungan pembangkang berpecah dan kelihatan kurang bersemangat. Situasinya hampir sama ketika Anwar di dalam penjara dan DAP meninggalkan Barisan Alternatif pada 2000.
“Oleh itu, sekarang Pakatan kelihatan lemah sebab tiada pengganti untuk Anwar Ibkrahim,” ujar seorang penyokong DAP, Alex Lim, dari Alor Gajah, Melaka kepada Suara pakatan daily.
Katanya, setakat ini tiada sesiapa pun dari pihak Pakatan Harapan (PH) yang dapat menggantikan peranan Anwar sebagai pemimpin yang mendominasi Pakatan.
“Tiada pemimpin PH yang mempunyai karisma seperti Anwar dan mempunyai kebolehan istimewa meraih sokongan dari semua golongan masyarakat, tidak kira bangsa atau agama, miskin ataupun kaya,” tambahnya.
Beberapa penyokong PH dalam kalangan masyarakat Cina yang diwawancara pula berkata strategi musuh untuk melemahkan PH seolah-olah berjaya kerana PH kelihatan tiada pelan yang jelas untuk menewaskan BN.
Kajian analisis politik dari media Cina juga membawa fakta yang sama iaitu ketiadaan Anwar sebagai pemimpin, Pakatan nampaknya mulai lemah.
Sekiranya situasi itu berterusan maka BN akan menang sekali lagi dalam pilihan raya umum ke 14. Justeru itu, penyokong pembangkang menyarankan PH meletakkan seorang ikon yang mampu menarik sokongan rakyat secara besar-besaran untuk memimpin.
Kata mereka, sudah tiba masanya pemimpin muda seperti Rafizi Ramli, Saifuddin Abdullah, Dr Mujahid dan lain-lain mengorak langkah ke depan sebagai pemimpin utama Pakatan.
Rakyat tidak boleh dibiarkan letih menunggu, sebaliknya perlu digilap semula harapan yang pudar selepas berpecahnya Pakatan Rakyat pada Jun 2015.