KUALA LUMPUR 12 FEB: Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M Kulasegaran mempersoal tindakan kerajaan Persekutuan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ketika ramai pelarian di negara ini, mahu bekerja.
“Kenapa bawa masuk 1.5 juta pekerja dari Bangladesh jika sejak sekian lama satu per sepuluh bilangan mereka di negara ini dari kalangan pelarian?” katanya pada pertemuan Kaukus Parlimen mengenai pelarian Sri Lanka di Parlimen baru-baru.
Dua hari lalu, kerajaan Bangladesh meluluskan memorandum persefahaman (MoU) untuk menghantar 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia untuk bekerja dalam beberapa bidang selain perladangan seperti sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan.
Kaukus Parlimen itu dipengerusikan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul bersama beberapa pemimpin tempatan dan I-Tran, sebuah badan antarabangsa untuk pelarian.
Kulasegaran meminta kerajaan bersikap lebih praktikal dan bertimbang rasa dengan membenarkan pelarian di negara ini bekerja untuk menyara kehidupan dan bukannya membawa masuk lebih ramai pekerja asing.
Berdasarkan data United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR), Malaysia ada sekurang-kurangnya 150,000 pelarian, pencari suaka dan pendatang asing yang berdaftar di bawah badan itu.
dengan membenarkan pelarian ini bekerja, Ahli Parlimen Ipoh Barat itu, berkata, nasib mereka lebih terjamin dari dihantar pulang ke negara asal dengan kemungkinan berhadapan dengan diskriminasi, penindasan dan penganiayaan.
Beliau berkata, rancangan kerajaan untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja dari Bangladesh dan menempatkan lagi 5,000 pelarian Syria di negara ini menimbulkan beberapa isu layanan berpilih.
“Kita ada ramai pelarian, ada warga Bangladesh, Rohingya, Tamil, Myanmar, Pakistan dan sebagainya yang mahu bekerja. Kenapa tidak beri mereka bekerja dan bukan membiarkan mereka hidup dalam keadaan terdesak.
“Kita perlu berikan ihsan dengan membenarkan mereka bekerja,” katanya sambil mendesak Malaysia menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Berkaitan Status Pelarian.-Roketkini.com