Apa pun hujah dan alasan yang cuba diberikan mengenai himpunan baju merah pada 16 September, ia tetap tidak dapat lari daripada agenda UMNO untuk mempertahankan kedudukan Perdana Menteri, Najib Razak.
Najib
yang bermasalah berikutan isu 1MDB dan "onar" menerima wang RM2,600
juta yang disifatkan "duit haram" oleh Tun Mahathir Mohamad, memilih
himpunan merah ini untuk membuktikan beliau tidak terjejas apa-apa
dengan dua isu besar itu.
Daripada
kedua-dua masalah yang dihadapi Najib itu diletakkan sebagai beban UMNO
memikulnya sebelum ini, ia kini cuba dialihkan kepada isu perpaduan
Melayu, kebangkitan Melayu, maruah Melayu dan seumpamanya dengan
matlamat agar seluruh orang Melayu turut sama menanggung perbuatan Najib
itu.
Setelah
mesyuarat perwakilan UMNO bahagian-bahagian yang baru berakhir
menunjukkan adanya kocakan tidak bersetuju dengan Najib sehingga ada
usul memintanya bercuti atau berehat buat sementara waktu sehingga
siasatan mengenai 1MDB dan wang RM2,600 juta diselesaikan, satu-satunya
cara untuk menunjukkan Perdana Menteri masih dikehendaki ialah melalui
himpunan baju merah ini.
Lantaran
itu, Najib akan melakukan apa saja, termasuk mengeluarkan belanja tak
terhad bagi memastikan sokongan memihak kepadanya terserlah melalui
himpunan baju merah.
Alasan
himpunan Bersih 4 yang kebetulan lebih ramai bukan Melayu menghadirinya
dan lebih bergema desakan meminta Najib berundur telah dijadikan alasan
terbaik untuk menghimpunkan orang-orang Melayu untuk mempertahankan
Najib pula.
Selain
penglibatan beberapa watak yang rapat dengan UMNO di sebalik himpunan
baju merah yang diletakkan atas nama gabungan NGO-NGO, maklumat mengenai
kerahan kehadiran melibatkan beberapa pemimpin dan seluruh UMNO
bahagian-bahagian juga bukanlah rahsia lagi.
Ada
laporan mengatakan sebuah mesyuarat di ibu pejabat UMNO yang dihadiri
oleh beberapa pemimpin tertinggi UMNO, antaranya Setiausaha Kerja, Abd
Rauf Jusoh, ahli MT Annuar Musa dan beberapa yang lain telah diadakan
untuk menyelaras kehadiran ahli UMNO seluruh negara ke program 16 September itu.
UMNO
sebuah negeri pula dikesan telah mengedarkan surat arahan kepada
bahagian-bahagian agar memastikan jumlah kehadiran yang memuaskan dengan
segala kos pengangkutan, makan minum dan lain-lainnya akan ditanggung
oleh Ketua Bahagian berkenaan.
Setelah
Najib sendiri tidak menghalang kehadiran ahli-ahli UMNO dalam program
tersebut, Khairy Jamaluddin pula menyambutnya dengan nada yang sama atas
alasan kenyataan Najib itu sudah mewakili pendirian parti.
Maka,
secara tersiratnya himpunan baju merah ini tidak lain adalah
semata-mata agenda UMNO untuk mengheret semua orang Melayu bagi
mempertahankan Najib.
Demi untuk mempertahankan kedudukan Najib, UMNO kini seolah-olah tidak peduli sebenarnya tarikh 16 September lebih
wajar diingati sebagai detik tertubuhnya Malaysia yang mencantumkan
kepelbagaian kaum dan agama antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
Jika UMNO benar-benar bersifat inklusif dan menghargai kepelbagaian kaum dan agama di negara ini, 16 September tidak
seharusnya ditenggelamkan dengan pesta bercorak perkauman dan untuk
menjulang tinggi kedudukan Najib yang kian dipertikaikan semata-mata.
16 September sewajarnya disambut dan diraikan untuk memperlihatkan keeratan hubungan dan saling harmoni antara semua kaum di negara ini.
Dengan
tiada satu pun komponen BN menyokong dan menyambut baik himpunan baju
merah ini, meneruskannya bukan saja mengundang perbalahan dan perbezaan
antara kaum yang kian ketara, malah akan meletakkan UMNO dan para
pemimpinnya semakin jauh di hati pengundi bukan Melayu.
Yang
jelas, mereka yang menganjur dan mengaktifkan himpunan baju merah ini
hanyalah mengutamakan bagaimana untuk menyanjung, mempertahan dan
memperlihatkan seolah-olah Najib terus mendapat sokongan rakyat dan
sanggup mengenepikan segala asas kemajmukan dalam negara.
Mereka sedar Najib kini dalam keadaan tersepit dan memerlukan segala ruang sokongan untuk mempertahankan kedudukannya.
Najib
pula, dengan kedudukan yang dimilikinya sebagai Perdana Menteri,
terlihat sedia memberi apa saja ganjaran kepada sesiapa yang paling
menonjol membelanya.
Beliau
bukan saja sanggup membesarkan jumlah menteri kabinetnya kepada seramai
37 orang dan meletakkan sehingga 12 menteri di Jabatan Perdana Menteri,
malah pemimpin seperti Salleh Said Keruak dan Azalina Othman Said pun
dijadikan menteri semata-mata kerana kesanggupan tidak henti-henti
membela Perdana Menteri, khususnya dalam isu 1MDB dan wang RM2,600 juta.
Di
ketika blogger UMNO terkulai lesu dalam membela Najib dan membelasah
Tun Mahathir, Salleh berjaya mengambil kesempatan hanya melalui
penonjolan tulisan dalam blognya dengan tetap melihat Najib sebagai
pemimpin suci murni dan akhirnya terus dilantik ke kerusi kanan dalam
kabinet.
Begitu
juga dengan Azalina, tangannya menggeletar geram apabila digugurkan
oleh Najib pada 2009 ketika berbual dengan seorang kenalannya, tetapi
telah berjaya menganggotai kabinet semula melalui usaha tidak
henti-hentinya bersuara mempertahan dan membela Najib.
Selepas himpunan baju merah 16 September ini, siapa pula bakal dilantik jadi menteri agaknya?
Jika
sudah mencatat sejarah meletakkan 12 menteri di Jabatan Perdana Menteri
dan melantik segala macam penasihat bertaraf menteri untuk sekian ramai
yang sudi mengampu dan membodeknya, tentulah tiada masalah untuk Najib
menambah seorang dua anggota baru atau menjadikan jumlah kabinetnya
lebih berganda lagi.
Adakah kali ini giliran Abd Rauf, Annuar Musa atau Jamal Mohd Yunus pula bakal menerima habuannya? (SH 11/09/2015)