oleh: JEBON
Selepas pemecatan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan usaha ahli parlimen pembangkang serta serpihan Umno berunding untuk melaksanakan undi tidak percaya di parlimen ke atas PM Najib Razak, tumpuan kini beralih kepada Pas.
Parti Melayu kedua terbesar itu mungkin adalah satu-satunya penyelamat Najib. Berdasarkan kenyataan 10 ahli parlimen pembangkang baru-baru ini, yang turut disertai pengerusi Gerakan Harapan Baharu Mohammad Sabu, maka undi tidak percaya itu tidak mustahil berlaku pada sesi Dewan Rakyat Oktober – Disember atau pun lebih awal daripada itu.
Walaupun pembangkang hanya mempunyai 87 kerusi parlimen manakala BN 134, namun sekiranya ahli parlimen (MP) penyokong Muhyiddin dan Syafie Apdal berganding tenaga, Najib boleh ditumbangkan. Shafie mempunyai pengaruh di Sabah yang memiliki 25 kerusi parlimen. Di Johor, bukan sahaja separuh MPnya penyokong Muhyiddin, malah keluarga Di Raja Johor pun tidak senang terhadap Najib.
Kerajaan sementara
Kumpulan MP ini menjanjikan kerajaan sementara selama setahun sebelum dianjurkan pilihan raya umum ke 14. Kerajaan sementara itu akan menyiasat semua skandal besar era Najib. Sekiranya Dr Mahathir ingin riwayat politik Najib tamat dengan apa cara sekali pun maka beliau boleh mengeluarkan arahan kepada MP penyokong Muhyiddin agar mengundi menolak Najib.
Cuma yang menjadi penghalang adalah ahli parlimen Pas yang taat kepada Presiden Hadi dan Mursyidul Am Haron Din. Mungkin ketika ini Hadi mengenakan tekanan ke atas Najib untuk membenarkan Hudud dibahas di Parlimen dan sebagai tukaran adalah sokongan MP Pas kepada beliau.
Pas memiliki 21 ahli parlimen. Matematik mudah kumpulan pembangkang yang mahu menjatuhkan Najib perlu mencari 24 MP BN bagi menyokong usul itu. Pas akan kehilangan Khalid Samad, Dr Hatta Ramli, Kamaruddin Jaafar, Mujahid Yusuf dan Dr Mariah Mahmod.
Sebaliknya Pas boleh menawarkan 16 ahli parlimen lain yang akan menyokong Najib. Maka usaha pembangkang itu akan kelihatan sukar menjatuhkan Najib. Pendirian Pas sejak awal krisis 1MDB amat jelas, iaitu tidak mahu campur dan tidak akan ikut parti pembangkang lain mendesak Najib meletak jawatan.
Perhitungan sendiri
Walaupun Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man beberapa kali mengkritik Najib namun Presiden Hadi tidak mengeluarkan apa-apa kecaman atau kritikan keras ke atas PM. Mursyidul Am Haron Din pula tidak percaya Najib menyelewengkan wang berbilion ringgit ke dalam akaun peribadi.
Dua tokoh yang amat ditaati ahli Pas itu tentunya mempunyai perhitungan sendiri untuk tidak mengecam Najib. Oleh itu dapat difahami mereka akan menyokong Najib mulai tahun ini sehingga pilihan raya umum akan datang.
Sokongan itu semakin jelas jika melihat komen Hadi terhadap kabinet baharu Najib yang dipertikaikan rakyat.
“Kita tak boleh kata bersetuju atau tidak (dengan barisan cabinet baharu) kita tunggu sejauh mana mereka dapat laksanakan tugas khususnya bagi isu melibatkan rakyat dan negara,” kata Hadi mengulas perlantikan Dr Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri Baharu.
Hilang populariti
Masalah yang akan dihadapi Pas sekiranya menyokong Umno di bawah Najib adalah hilang populariti dalam kalangan pengundi Melayu. Pas akan termakan label ‘syaitan bisu’ era Fadzil Noor dan Nik Aziz.
Ulama Pas sepanjang dekad 1990an sering mengecam tokoh agama dan ustaz yang berada dalam Umno sebagai syaitan bisu. Mereka merelakan Mahathir memfitnah Anwar dan menelan duit rakyat sesuka hati walaupun tahu batas halal dan haram. Pelbagai ancaman neraka diketengahkan oleh penceramah Pas terhadap ustaz Umno ketika itu, termasuklah dari Hadi sendiri.
Namun hari ini, apabila Hadi dan Haron kelihatan ‘condong’ kepada Najib yang telah terpalit dengan dakwaan seribu satu skandal kewangan maka label itu akan berbalik ke atas mereka.
Jika perhitungan kelulusan Hudud diutamakan, agak sukar untuk dipercayai Najib akan membenarkan Hudud lulus kerana MP BN dari Malaysia Timur tidak akan menyokong rang undang-undang tersebut.
Lebih parah MP Sabah dan Sarawak bukanlah penyokong membabi buta dan mereka dengan mudah boleh menarik sokongan dan beralih kepada pembangkang. Sebarang langkah sedemikian akan menyebabkan kerajaan BN di peringkat persekutuan secara automatik tumbang. Najib tidak akan memilih risiko sebesar itu ketika beliau menghadapi serangan puak Mahathir dan Muhyiddin.
Ironinya, andai kata Hudud tidak juga diluluskan pada sesi akhir Dewan Rakyat 2015 maka majoriti penyokong Pas akan meninggalkan parti itu yang gagal mutlak.
Lakukan yang terbaik
Sesunguhnya politik Melayu tidak wajar kembali ke era sebelum reformasi 1998. Negara telah sensara sepanjang tempoh 1998 – 2000 akibat terdesaknya Mahathir untuk meneruskan kekuasaan di tengah-tengah kemelut krisis ekonomi. Satu pendekatan baharu politik perlu dilaksanakan mengatasi politik perkauman Umno dan Pas.
Pemimpin Melayu yang cintakan negara dalam Umno, Pas, PKR mahu pun lain-lain parti perlu mencuba konsep kerjasama / konsensus nasional. Sekiranya undi tidak percaya perlu dilakukan maka semua parti perlu bersatu tenaga demi menyelamatkan rakyat.
Sekiranya perlu pergabungan parti pemerintah dan pembangkang untuk berkerajaan sementara maka ianya sesuatu yang wajib diusahakan.
Krisis politik kali ini dengan hutang negara berjumlah RM600 bilion, hutang isi rumah RM800 bilion dan bayaran faedah ke atas hutang RM26 bilion setahun amat parah. Ditambah hutang 1Malaysia Development Berhad RM42 bilion serta pelbagai hutang GLC yang dijamin kerajaan, akan menjerumuskan negara ke kancah kehancuran ekonomi.
Malaysia menghampiri situasi Greece jika MP berdegil dan mementingkan diri. Kroni Najib boleh kenyang untuk setahun dua ini tetapi sekiranya negara mengulangi tragedi keruntuhan Greece maka mereka akan jatuh miskin selepas 2018!