Janji
ini pastinya akan membuatkan sesetengah pihak terlentok syahdu dengan
keasyikan yang menggairahkan itu, lantas merasakan inilah pemimpin yang
benar-benar memperjuangkan nasib bangsa Melayu.
Jika
ada ombak sedang memukul pantai ketika ucapan itu dilafazkan, ia akan
berhenti seketika kerana ucapan itu jauh lebih menggairahkan. Burung
yang sedang terbang pun akan jatuh kerana kata-kata itu akan membuatkan
haiwan itu terpana lalu terlupa mengembangkan sayapnya.
Jika
seorang lelaki pula mengucapkan kata-kata itu kepada kekasih hatinya,
pastilah ia dianggap janji paling menggiurkan sehingga apa juga
rintangan dan lautan api pun sanggup dihadapi.
Begitulah
asyik dan indahnya kata-kata dan ungkapan "selagi ada bulan dah
bintang" ini. Ia boleh membuatkan ramai orang terlena dan terbuai-buai
dengannya.
Tetapi
apabila Najib tiba-tiba malafazkan janji demikian, benarkah ucapan itu,
bolehkah ia diyakini dan kenapa hanya sekarang ianya diucapkan?
Semua
orang tahu, sejak Najib mengambil alih kepimpinan negara pada 2009,
banyak liberalisasi dan tolerasi telah diterapkan dalam gaya
kepimpinannya. Gagasan 1Malaysia yang mula-mula diperkenalkannya adalah
lambang hasrat membawa lebih kesamarataan dalam pentadbirannya.
Jika
di zaman Mahathir atau Pak Lah, setiap kali Perhimpunan Agung UMNO,
teriakan Hidup Melayu selalu saja bergema tetapi di awal pemerintahan
Najib, teriakan itu tidak lagi kedengaran. Hanya setahun dua ini saja
teriakan itu dikembalikan semula.
Ia
diikuti dengan tindakan Najib membuka akaun FB dengan nama Ah Jib Gor,
bersikap lebih toleran kepada kaum Cina dan India sehingga ke majlis
perayaan kedua-dua kaum itu pun beliau memakai pakaian tradisi mereka.
Ini
sesuatu yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin sebelum ini,
malah Mahathir selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri juga tidak pernah
berbuat demikian. Kalau ada pun Mahathir hanya berbaju kemeja merah
saja ketika menghadiri perayaan Tahun Baru Cina.
Dalam
satu sambutan Tahun Baru Cina, Najib juga sanggup berlakun dalam sebuah
iklan televiseyen dengan memukul gong yang menjadi tradisi kaum Cina.
Lebih
dari itu, tuntutan daripada komponen BN sendiri terutamanya MCA
mengenai kesamarataan ekonomi dan UMNO tidak harus selama-lamanya
menjadi "abang besar" dalam BN langsung tidak mendapat bantahan daripada
Najib. Beliau hanya berdiam diri saja walaupun ia amat menyinggung
perasaan orang Melayu.
Najib
juga memansuhkan ISA dan Ordinan Darurat untuk menunjukkan sikap
liberal dan toleransinya. Akta Hasutan juga pernah dijanji untuk
dimansuhkannya, tetapi ditarik balik kemudiannya kerana mendapat
bantahan yang meluas daripada golongan kanan dalam parti dan kerajaan.
Semua
tindakan liberal Najib pada umumnya menimbulkan kebimbangan dalam
kelompok Melayu sendiri. Dari sinilah lahir dan mendapat tempatnya
pelbagai NGO seperti Perkasa, Isma, Jati dan lain-lainnya atas nama
menjaga kepentingan Melayu dan Islam.
Diakui
bahawa dalam sesetengah keadaan apa yang dilakukan Najib seolah-olah
cuba melanggar kontrak sosial dan pembahagian hak yang sudah pun
termaktub dalam Perlembagaan. Ramai yang berpendapat bahawa Najib tidak
perlu menunjukkan dirinya terlalu liberal, mirip kecinaan atau keindiaan
kerana dengan mematuhi kontrak sosial dan Perlembagaan saja sudah
merangkumi pembelaan yang menyeluruh kepada semua kaum.
Namun,
harapan Najib agar semua yang dilakukannya itu membuahkan hasil yang
positif dalam PRU 13 ternyata gagal. Beliau kalah lebih teruk daripada
Pak Lah yang ditanggapi sesetengah pihak lebih banyak tidur dari jaga
dalam mentadbir negara. Malah Najib meluahkan kekecewannya dengan
mengatakan keputusan pilihanraya itu sebagai tsunami Cina.
Mujurlah
pengundi Melayu luar bandar yang terdiri daripada pakcik kedai kopi dan
makcik Felda terus menyokong dan meyakini perjuangan UMNO. Najib
akhirnya sedar Melayu yang cuba ditinggalkan itulah yang terus
menyokongnya manakala kaum lain yang ditunjukkan sikap dan kesamarataan
tetap juga menolaknya.
Sejak
selepas PRU 13, Najib tidak pernah lagi menyebut ungkapan 1Malaysia. Ia
seolah-olah sudah ditongsampahkan sedangkan itulah yang dibanggakan
sebelum ini.
Sejak
itu juga Najib mula perlahan-lahan mencantumkan semula carik-carik jiwa
dan perjuangan Melayu yang sudah diselerakkannya sebelum ini.
Ditambah
dengan pelbagai tekanan, termasuk dalam UMNO sendiri, terutama sejak
Mahathir, Daim dan sebahagian yang lain merasakan kepimpinannya yang
terus lemah dan banyak masalah lebih mungkin membawa kekalahan kepada BN
dalam pilihanraya akan datang, kedudukan Najib jadi kian
terumbang-ambing.
Najib
seolah-olah tiada pilihan untuk menyelamatkan dirinya selain
menunjukkan dirinya tetap kuat berjiwa Melayu. Jika hari ini janji
"selagi ada bulan dan bintang" dilafazkannya, dalam perhimpunan
ketua-ketua UMNO bahagian pada 8 Mac depan, mungkin lebih banyak lagi janji dan kata-kata indah bakal kita dengari.
Juga,
jika ada perhimpunan lain yang bertujuan menyatakan sokongan kepada
Najib selepas ini, terpacul lagilah janji-janji indah yang mengkhayal
dan mengasyikkan itu.
Tetapi bolehkah semua janji itu diyakini dan dipercayai?
Sebagaimana
janji kekasih yang melafazkan "selagi ada bulan dan bintang" selalunya
lebih kerap tersekat di tengah jalan atau pemungkiran juga banyak
berlaku selepas berkahwin, begitulah juga janji Najib ini.
Kata budak-budak rock, ia hanyalah "janji sebelum dapat" saja. (SH 01/03/2015)