Anwar berkata, tindakan panik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membawa keseluruhan Kabinet serta jentera kerajaan untuk membantu kempen pilihan raya negeri merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara dan ia jelas merupakan usaha berterusan Najib mengekang Pakatan Rakyat membawa angin perubahan kepada rakyat di negeri itu.
"Ternyata pilihanraya di Malaysia masih belum lagi bebas dan adil terutamanya di Sarawak. Ini kerana, media masih dikawal kerajaan BN dalam menyampaikan maklumat yang telus kepada rakyat dan kempen-kempen Pakatan Rakyat selepas penamaan calon acap kali diganggu pihak berkuasa,".
"Walaupun tidak dikasar tetapi masih diganggu oleh polis"katanya.
Bercakap dalam satu sidang media di Kuching, Anwar turut mengingatkan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) supaya mematuhi peraturan pilihanraya yang adil dan bebas serta berharap tiada lagi cubaan untuk menghalangnya dari terus berkempen di negeri itu.
"Saya ingin mengingatkan PDRM supaya memberi kerjasama, menghormati peraturan berkempen serta tidak menghalang mana-mana parti untuk kempen khususnya Pakatan Rakyat kerana tindakan itu hanya akan menakutkan orang ramai. Ini adalah hak yang termaktub dalam perlembagaan negara"
Tambah Anwar, selain terpaksa berdepan dengan barisan jentera kerajaan Pakatan Rakyat juga turut menerima serangan yang tidak putus-putus daripada media kawalan Umno-BN.