RON95 - HARGANYA TURUN 6 SEN ATAU 61 SEN?
Sejak beberapa hari lalu, saya ada terbaca banyak ulasan di media sosial mengenai penjimatan harga yang dinikmati rakyat berikutan harga penguatkuasaan harga baru RON95 yang bermula 30 September ini.
Termasuk yang membuat ulasan itu ialah seorang pengulas permotoran yang agak terkenal.
Mereka menulis, dengan kadar baru RM1.99 seliter yang diperkenalkan itu, rakyat bukanlah mendapat penurunan harga atau penjimatan sebanyak 6 sen daripada harga pasaran RON95 sebanyak RM2.05 sen sebelum ini.
Sebaliknya, kata mereka, rakyat sebenarnya mendapat pengurangan harga sebanyak 61 sen bagi setiap liter kerana harga RON95 tanpa subsidi bermula 30 September ini adalah RM2.60 sen seliter.
61 sen seliter, bukan 6 sen dan ada pula pengulas yang menambah, jika 300 liter digunakan dalam sebulan, ia bersamaan RM183.00 dapat dijimatkan dalam sebulan dan bukan cuma RM18.00, hujah mereka lagi sambil mengajak rakyat agak bersyukur banyak-banyak.
Sejujurnya, untuk mengatakan rakyat mendapat penuruhan harga atau penjimatan wang sebanyak 61 sen dan bukan 6 sen seliter, ia sebenarnya adalah suatu bentuk “spin” yang berlebih-lebihan.
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ll pun tidak pernah tergamak untuk menyebut penurunan sebanyak 61 sen itu.
Harus kita sedari, harga RON95 yang biasa rakyat bayar sejak bertahun-tahun sebelum ini ialah RM2.05 sen seliter, bukannya RM2.60 sen.
RM2.05 sen itulah adalah harga RON95 yang telah diberikan subsidi.
Sebelum ini tidak ada kategori RON95 tanpa subsidi.
Petrol tanpa subsidi yang ada di pasadan sebelum ini adalah jenis kualiti yang lebih baik iaitu RON97.
RON95 tanpa subsidi dengan harga RM2.60 sen seliter hanya diwujudkan bermula 30 September ini untuk kegunaan warga asing dan warga Malaysia yang telah melebihi kouta 300 liter.
Bersekali dengan pengenalan RON95 tanpa subsidi itu, bermula 30 September juga, RON95 bersubsidi dijual hanya pada kadar RM1.99 seliter untuk warganegara Malaysia dengan had kegunaan 300 liter sebulan.
Bermakna, disebabkan harga yang biasa dibayar rakyat sejak bertahun-tahun untuk membeli RON95 ialah RM2.05 sen, maka apabila ia diturunkan oleh Perdana Menteri yang budiman lagi baik hati kepada RM1.99 sen, penurunan harga atau pengurangan duit poket yang dapat dijimatkan adalah 6 sen bagi setiap liter.
Celah mana datangnya 61 sen, sedangkan tidak pernah sesiapa pun sebelum ini ada membeli RON95 dengan harga RM2.60 seliter.
Secara tepatnya, 61 sen adalah perbezaan harga RON95 bersubsidi dengan yang tidak bersubsidi yang mula berkuatkuasa pada 30 September.
Bahkan jika rakyat Malaysia sudah habis menggunakan 300 liter dalam sebulan, mereka harus membeli pada harga yang lebih tinggi daripada RM1.99 sen iaitu RM2.60 seliter.
Ertinya, kena lebih banyak wang daripada poket harus dikeluarkan.
Dengan itu, untuk sesiapa mengatakan harga minyak turun sebanyak 61 sen atau rakyat kononnya dapat berjimat sebanyak 61 sen bagi setiap liter atau RM183.00 sebulan atau RM2,196.00 setahun, ia boleh dikategorikan sebagai “fake news” kecuali jika harganya benar-benar diturunkan 61 sen iaitu daripada harga RM2.05 sen kepada RM1.44 sen seliter.
Begitu pun, sama ada turun 6 sen atau 61 sen, kita sebagai rakyat tentunya tetap bersyukur dengan penurunan tersebut.
Cuma, kalau PMX lebih bersikap baik hati dan dapat menurunkan harga RON95 sebanyak 61 sen kepada RM1.44 sen seliter, tentunya rakyat akan jauh lebih bersyukur lagi.
Ketika itu, barulah benar-benar penurunan harga dan wang yang dapat dijimatkan adalah sebanyak 61 sen.
Mereka yang sebelum ini suka-suka “spin” kononnya rakyat dapat berjimat 61 sen dan bukan 6 sen, dengan itu barulah dengan sendirinya terlepas daripada belenggu sebagai penyebar berita palsu. - ShahbudinHusin 29Sept2025.
No comments:
Post a Comment