RAMAI KELUARGA GEMBIRA DAPAT DUIT eMADANI


Malam semalam, selepas waktu Isyak, saya pergi ke sebuah pasaraya terkenal yang cawangannya ada di merata-rata untuk membeli makanan kucing.


Ketika tiba di depan pasaraya waktu itu, jam sudah hampir 9.30 malam, tetapi saya dapati agak ramai pengunjung sedang beratur di kaunter bayaran.


Oleh kerana hari sudah agak lewat, saya terus juga masuk untuk mencari barang yang ingin dibeli. walaupun dalam hati terfikir, ini mesti nanti kena beratur agak lama sikit.


Memasuki kedai, saya dapati masih ramai pengunjung sedang memilih barangan, kebanyakannya datang bersama isteri dan anak-anak.


Ketika beratur di kaunter bayaran, rata-rata pengunjung didapati membeli barangan keperluan seharian – beras, bihun, minyak masak, biskut dan lain-lain lagi.


Yang membawa anak pula didapati turut membeli keropok, coklat serta lain-lain makanan ringan.


Ketika beratur untuk membuat pembayaran, baru saya sedar semua pengunjung membuat bayaran menggunakan perkhidmatan e-wallet melalui telefon bimbit masing-masing.


Menoleh ke kaunter bayaran lagi satu, juga didapati semuanya membuat bayaran melalui kaedah yang sama.


Malah, ada yang sudah siap dengan telefon bimbit dalam genggaman untuk ditunjukkan kepada juruwang di kaunter bayaran.


Ketika tiba giliran saya membayar makanan kucing yang dibeli, saya sempat menyapa juruwang – semua ni guna duit eMadani ke?


“Haah, sejak semalam lagi memang ramai macam ni,” balas juruwang berkenaan.


Sewaktu hendak berlalu pergi, saya sempat menoleh ke belakang melihat mereka yang masih ramai lagi beratur, ternampak ada sinar kegembiraan di wajah-wajah mereka.


Nampaknya pemberian tunai eMadani benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat untuk membeli barangan keperluan seharian bagi seisi keluarga masing-masing.


Walaupun jumlahnya hanya RM100, tetapi jika mereka suami isteri, ertinya sudah menjadi RM200 untuk belanja dapur.


Bagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana, jumlah tersebut amat bermakna dalam memberi kelegaan kepada kehidupan.


Dalam perjalanan pulang, saya terfikir – alangkah baiknya jika kerajaan dapat memberi duit eMadani itu kepada rakyat sebanyak dua atau tiga kali setahun.


Ia pasti membuatkan rakyat lebih gembira, selain ekonomi negara juga juga akan berkitar dengan lebih laju lagi.


Sementara itu, dalam perlembangam berkaitan, Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan berkata, sebanyak 6.5 juta permohonan bantuan kredit eMadani telah diluluskan dan dikreditkan kepada penerima membabitkan peruntukan sebanyak RM650 juta setakat ini.


Bercakap kepada pemberita selepas melakukan tinjauan perbelanjaan menggunakan eMadani di sebuah pasar raya, Ahmad menambah, sebanyak 1.8 juta lagi permohonan masih dalam proses kelulusan yang mengambil masa satu hingga lima hari dari tarikh permohonan untuk diluluskan.


“Begitu ramai yang memohon sepanjang tiga hari ini walaupun kita membuka hingga 20 Feb 2024 dan boleh digunakan hingga 29 Feb depan.


“Bagaimanapun, mereka yang rasa layak tetapi permohonan gagal, mereka masih boleh membuat rayuan untuk permohonan semula,” katanya.


Beliau berkata mereka yang gagal boleh membuat rayuan melalui beberapa platform termasuk menghantar e-mel menerusi emadani@treasury.gov.my atau menghubung talian 03-88824565 dan 1800882747.


Empat aplikasi penyedia perkhidmatan e-wallet yang boleh dipilih bagi memohon eMadani ialah Shopee, MAE Maybank, Touch N’ Go atau Setel Petronas. – ShahbudinHusin 07/12/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/12/07/ramai-keluarga-gembira-dapat-duit-emadani.html