Malaysia desak PM Israel dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa


 Oleh: Abdullah Zaid


Malaysia antara negara paling lantang memperjuangkan isu Palestin selain meningkatkan tekanan agar masyarakat antarabangsa tidak menutup sebelah mata dan membenarkan rejim Israel bermaharajalela membunuh orang awam Palestin.


Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, persoalan membawa Perdana Menteri (PM) Israel, Benjamin Netanyahu ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah dimulakan sejak dua tahun lalu.


"Jelas beliau, Palestin sebagai ahli Statut Rom, telah mengguna pakai ratifikasi itu bagi membenarkan pihak pendakwa ICC membuat pemeriksaan awal ke atas situasi di negara itu, sama ada kriteria dipenuhi dan seterusnya membawa isu tersebut ke pra perbicaraan.


"Justeru, pada 21 Mac 2021 ICC telah membuka siasatan atas situasi Palestin sejak 13 Jun 2014 tanpa tempoh tamat.


"Maka, situasi Palestin sudah ada proses siasaran ICC," katanya bagi menjawab soalan Ahmad Fadhil Shaari (PN - Pasir Mas) berhubung desakan membawa pemimpin nombor satu Israel ke ICC.


Dalam pada itu, Zambry menjelaskan Malaysia sentiasa menyeru PBB agar dapat merujuk isu kekejaman Israel bukan sahaja ke ICC malah ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).


"PBB telah menerima pakai resolusi 74-247 yang meminta agar ICJ memberi pendapat nasihat berhubung isu-isu berkaitan Palestin.


"Lanjutan itu, Malaysia telah mengambil bahagian kenyataan bertulis bagi mendapatkan pendapat nasihat berhubung isu Palestin yang telah diserahkan kepada pendaftar ICJ pada 25 Julai lalu," jelas Zambry.

No comments: