Pengangguran tinggi, jangan biar negara terus tidak stabil


 Kestabilan negara adalah kunci utama bagi membolehkan Kerajaan Perpaduan membangunkan ekonomi negara, tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.



Tambahnya, orang Melayu khususnya tidak seharusnya taksub dan terbawa-bawa dengan politik sehingga menjadikan negara tidak stabil sehingga menyebabkan ekonomi negara sukar dibangunkan.



"Negara kita kini berdepan kadar pengangguran tinggi dan masalah ini tidak dapat diselesaikan jika masyarakat taksub berpolitik sepanjang masa.



"Membangunkan ekonomi adalah antara fokus Kerajaan Perpaduan ketika ini dan ia bukan mengambil masa pendek kerana untuk menyelesaikannya memerlukan masa.



"Kita kena bina asas itu semula dengan syarat kestabilan dapat dicapai," katanya dipetik ketika program ziarah kasih bersama penduduk Kampung Orang Asli Bakar Batu, Perling di Johor Bahru.



Hadir sama, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.



Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa turut berkata, lazimnya pada pilihan raya termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor ketika ini, orang Melayu dimomokkan oleh parti politik yang bercerita seolah-olah hanya orang Melayu tinggal di negara ini.



Namun jelasnya semua pihak wajar menyedari bahawa negara ini terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa yang mempunyai peranan masing-masing.

Sebagai rekod, muka depan semua akhbar terbitan NSTP semalam melaporkan bahaya dihadapi negara dan rakyat pada masa depan susulan eksploitasi isu agama serta kaum sudah keterlaluan dan melampau.



Malah, ia boleh dianggap 'menunggang' demi kepentingan politik jangka pendek tanpa menghiraukan kesan buruk yang telah pun kelihatan.



"Masyarakat Melayu kena faham, pembangunan itu dituntut dalam Islam. Jangan hanya pakai slogan membangun bersama Islam namun negeri ke belakang.



"Usah jual agama kerana mahukan kerusi (politik). Jual agama untuk kerusi tak boleh buktikan kredibiliti parti kita, malah hanya menghalang pembangunan negara ke tahap seterusnya," tambah Johari.