JANGAN MIMPI ANWAR JATUH BULAN LAPAN INI…

 


Kalau dengar ucapan pemimpin-pemimpin PN ketika kempen PRN yang sedang berlangsung sekarang, tiada lain yang paling banyak keluar daripada mulut mereka melainkan gembar-gembur Anwar Ibrahim akan jatuh pada bulan lapan (Ogos) ini.

Daripada Mahiaddin Md Yasin, Azmin Ali, Sanusi Md Nor dan sejumlah ramai lainnya, itulah naratif yang sedang mereka bina sebagai jajaan agar pengundi di enam negeri memberi sokongan kepada PN pada 12 Ogos nanti.

Paling syok bila dengar Mahiaddin yang sebelum ini pernah dicop sebagai Perdana Menteri paling gagal yang antara lain menyebut dalam satu ucapannya – “selepas PRN nanti melalui kemenangan yang dicapai oleh PN, maka Anwar akan jatuh kerana terbukti beliau tidak pandai mentadbir negara”.

Ehh…ehh…apa kena mengena keputusan PRN dengan pandai atau tidak pandai Perdana Menteri dalam mentadbir negara?

Mahiaddin selama 17 jadi Perdana Menteri yang dicop paling gagal sebelum ini, adakah beliau pandai sangat mentadbir negara?

Kemudian, disebabkan para pemimpin PN tidak henti-henti bercakap Anwar akan jatuh pada bulan lapan iaitu selepas berakhirnya PRN pada 12 Ogos, ahli dan penyokong PN pun turut sama ghairah menjaja naratif yang serupa.


Bila berjumpa dengan kita, mereka mula sibuk bertanya – betulkah Anwar akan jatuh bulan lapan ini?

Hairan kan…mereka yang nak jatuhkan Anwar, tapi mereka pula yang bertanya kepada kita – betulkah Anwar akan jatuh?

Apakah tanda semua itu?

Ia tidak lain menunjukkan mereka sendiri sebenarnya tidak pasti sama ada Anwar akan jatuh atau tidak.

Persoalannya, macam mana Anwar boleh jatuh atau boleh dijatuhkan selepas berakhirnya PRN nanti?

Berkurangkah majoriti dua pertiga atau kedudukan 148 Ahli-Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan perpaduan dan Anwar, katalah jika PN menang empat atau lima negeri pada PRN nanti?

Malah kalau keenam-enam negeri sekali pun berjaya disapu bersih oleh PN, celah mana Anwar boleh tumbang kerananya?

Pertama, PRN adalah bertujuan untuk membentuk kerajaan negeri, bukan menentukan jatuh bangun Perdana Menteri.

Suara atau undi Adun tidak laku di Parlimen dan oleh itu, tiada kaitan keputusan PRN boleh menyebabkan jatuhnya Anwar.

Kedua, harus difahami bahawa tiada peruntukan undang-undang untuk membuang seorang Perdana Menteri daripada jawatannya.

Perdana Menteri hanya boleh dijatuhkan melalui usul undi tidak percaya di Parlimen atau jika dia sendiri menjatuhkan dirinya dengan cara berundur diri atau meletak jawatan sepertimana dilakukan Mahiaddin sebelum ini.

Selagi seseorang Perdana Menteri itu tidak dijatuhkan melalui usul undi tidak percaya di Parlimen atau beliau tidak meletak jawatan, dia akan terus kekal sebagai Perdana Menteri sehinggalah Parlimen dibubarkan.

Ketiga, oleh sebab sekarang ini akta lompat parti telah berkuatkuasa, ini bererti Ahli Parlimen tidak laku lagi untuk menjaja akuan bersumpah mereka bagi menyokong sesiapa.

Semua Ahli Parlimen tertakluk kepada keputusan parti tentang arah tuju sokongan mereka.

Begitu pun, jika ada usul undi tidak percaya dibentangkan di Parlimen, Ahli-Ahli Parlimen bebas memberikan sokongan mereka.

Jadi, selepas PRN ini, apa sekali pun keputusan pilihan raya itu, sementara memang tidak mustahil untuk menjatuhkan Anwar sebagai Perdana Menteri, ia tetap memerlukan pembentangan usul undi tidak percaya di Parlimen.

Beranikah PN membawa usul tersebut?

Atau sedia dan benar-benar beranikah Mahiaddin yang ada kes mahkamah dan kini tergolong dalam kluster mahkamah mahu membawa usul undi tidak percaya terhadap Anwar dan menonjolkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri sekali lagi?

Jika tiada yang berani membawa usul atau kalau bawa usul pun tetapi tidak menang, bermakna Anwar akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga PRU16 atau sehingga tahun 2027 akan datang.

Ketika itu iaitu kira-kira empat tahun daripada sekarang – mana tahu – entah-entah Mahiaddin masuk penjara lebih dulu.

Penyudahnya nanti, jangankan di alam realiti, di dalam mimpi pun Anwar tetap tak berjaya dijatuhkan juga. – ShahbudinHusin 04/08/2023.




No comments: