Oleh: Abdullah Zaid
Gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang dilihat santai dan bersahaja buat calon gabungan Pakatan Harapan (PH) -Barisan Nasional (BN) untuk meraih sokongan sebelum tarikh pengundian pada 12 Ogos ini.
Hanya berbaki 7 hari sebelum mengundi, tinjauan Suara Keadilan mendapati rata-rata pengundi muda di ‘Pulau Mutiara’ memberi respon positif kepada prestasi Kerajaan negeri.
Muhammad Luqman Abdul Halim, 21, mahasiswa, lebih cenderung kepada gabungan Kerajaan Perpaduan hasil prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri.
"Pada saya Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah banyak membuat pakej ekonomi dan kebajikan yang baik kepada rakyat di negeri ini.
"Banding dengan PN (Perikatan Nasional) mereka tidak tawar apa-apa pelan ekonomi dan tatakelola yang menyakin pengundi," katanya.
Jelas anak jati Bukit Mertajam itu sehingga kini blok gabungan Bersatu, Pas dan Gerakan tersebut masih tidak menampilkam ‘poster boy’ yang bakal menerajui Pulau Pinang.
"Kami ternanti-nanti juga siapa yang bakal menjadi Ketua Menteri bagi pihak PN tapi sehingga hari ini mereka tidak kemukakan," ujar anak muda itu.
Senada dengannya, Chang Tek Junn, 20 pengundi DUN Machang Bubuk, turut berkongsi pandangan sama mengenai prestasi Kerajaan Negeri.
Tambahnya, adalah lebih baik jika blok MADANI itu terus memegang pentadbiran negeri agar perancangan melibatkan projek berskala besar Kerajaan Negeri selari dengan Pusat.
"Saya lihat lebih baik kita kekalkan kerajaan sedia ada (PH) kerana Kerajaan sekarang berada di bawah Anwar Ibrahim (Perdana Menteri).
"Jika kita pilih PH maka lebih mudah untuk rakyat mendapat kemudahan infrastruktur dan ekonomi yang lebih baik," ujarnya lagi.
Sementara itu, bagi Shamahari Mogen, 23, anak kelahiran Seberang Jaya, lebih cenderung kepada blok Perpaduan atas faktor prestasi gerak kerja yang dibawa oleh ADUN itu sendiri.
Katanya, sebagai pengundi atas pagar politik khidmat perlu dilihat antara faktor penting dalam menentukan wakil rakyat yang hendak dipilih.
"Sejujurnya saya lebih minat untuk memilih calon yang betul-betul membuat kerja terutama dalam isu anak muda.
"Saya perhatikan parti kerajaan (PH-BN) lebih aktif melibatkan diri dalam aktiviti anak muda seperti Mobile Legend dan PUBG.
"Cara turun padang mendekati masyarakat ini yang membuat saya lebih suka (PH-BN)," katanya.
Terdahulu, Naib Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN negeri, Goh Choon Aik yakin 26 kerusi DUN sudah berada dalam genggaman Perpaduan sekali gus sudah berjaya membentuk Kerajaan Negeri daripada 40 jumlah yang dipertandingkan.
Selain itu, pemimpin KEADILAN negeri itu juga menyifatkan bahawa bertembungan mereka dengan PN seolah-olah bertarung dengan “bayang-bayang sendiri” kerana sukar untuk melihat bendera perikatan tersebut.