KAMU CERCA RAJA, ITU NASIB KAMULAH – ANWAR

 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan terlibat dalam kes menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang sedang menghadapi pertuduhan mahkamah. 

Menurutnya, pembangkang telah hilang modal sehingga mengaitkan dirinya dengan kes Sanusi

“Hari-hari perdana menteri dicerca, dimaki dan dihina. Saya tidak ambil tindakan. Tidak suruh polis ambil tindakan.

“Tapi, cerca dan singgung Raja, itu nasib kamulah. Jadi, yang buat laporan polis Dewan Diraja Selangor. Bolehkah Dewan Diraja Selangor membuat laporan polis tanpa perkenaan Sultan? Tidak.

“Kemudian pesuruhjaya PAS Selangor pergi jumpa Sultan Selangor minta ampun. Tuanku titah kes belum selesai. Maka, ketua polis negara buat kenyataan, dia (Sanusi) ditangkap dan didakwa.

“Apa pula salah perdana menteri pula ini? (Pembangkang) dah tak ada modal. Kamu ini cakap, tangggunglah, hebat sangat,” katanya selepas merasmikan ‘Majlis Sentuhan Kasih Desa Selangor & Mini Karnival Usahawan Desa di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam, pagi tadi.

Sanusi dituduh di mahkamah pada 18 Julai lalu atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Sanusi didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak dekat Kuala Lumpur pada 11 malam, 11 Julai lepas.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sanusi bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Kedua-dua hakim membenarkan Muhammad Sanusi diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan tertuduh tidak membuat sebarang komen berhubung kes sehingga kes berkenaan selesai serta menetapkan 4 Okt untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.


No comments: