FELDA LUPUS AKAUN PENEROKA, HUTANG KERAJAAN TANGGUNG

 




  AMIRUDDIN AHMAD


Penghapusan hutang peneroka Felda menjadi kontroversi ketika ini kerana sengaja disalahtafsirkan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menjadi isu besar antara Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas PM Mahiaddin Yassin yang mengumumkan penghapusan hutang pada 2021 lalu.

Menurut kenyataan Felda, penghapusan hutang tersebut bukan sahaja melibatkan dihapus kira dalam akaun Felda tetapi juga hutang berkenaan perlu ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan, memandangkan Felda tidak mempunyai kewangan mencukupi untuk menyerap hutang RM8.3 bilion.

Penyerapan hutang itu dilakukan oleh Perdana Menteri ke 10 melalui perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) yang ditandatangani antara Felda dan Kerajaan Persekutuan pada Jun lalu.

“PM semasa Sambutan Hari Peneroka Felda pada 7 Julai 2023 mengumumkan bermula tahun ini, Kerajaan Perpaduan telah meluluskan peruntukan sehingga RM990 juta setahun bagi membolehkan penebusan semula sukuk Felda yang antara lainnya bagi membiayai hapus kira hutang peneroka Felda. Secara keseluruhan inisiatif ini melibatkan bantuan kewangan kepada Felda sebanyak RM9.9 bilion bagi tempoh 10 tahun.

“Walau bagaimanapun, kenyataan Perdana Menteri telah disalah tafsir sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dengan janji kerajaan terdahulu untuk menghapuskan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

“Penghapusan sejumlah hutang peneroka ini telah dilaksanakan di peringkat Felda tanpa penyaluran peruntukan geran dari Kerajaan Persekutuan pada tahun 2021 dan 2022. Jumlah pelupusan hutang ini telah memberikan impak yang besar kepada aliran tunai dan prestasi Felda,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.

Menurut Felda lagi, FSRA adalah tanggungjawab yang telah ditunaikan Kerajaan pada tahun ini berikutan usaha Felda meminjam wang daripada pasaran kewangan dengan menerbitkan sukuk bagi perlupusan hutang dan pengambilalihan Felda Global Ventures Holdding (FGV) beberapa tahun lalu.

Kata kenyataan itu lagi, penerimaan sejumlah RM900 juta setahun untuk tempoh 10 tahun akan membolehkan Felda membayar kembali pinjaman sukuk selepas tidak lagi mengutip hutang daripada peneroka.

“Sebagai langkah membantu dan menjamin kelangsungan Felda, Perdana Menteri pada 26 Jun 2023 telah menandatangani perjanjian FSRA bagi penerimaan pertama geran RM990 juta dari Kerajaan Persekutuan untuk penebusan sukuk Felda.

“Perjanjian itu antara lain memberikan ruang kepada Felda menstruktur semula komitmen kewangan terhadap kadar faedah yang dikenakan serta pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

“Felda menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan atas komitmen bagi menyempurnakan proses pemulihan Felda demi menjamin kelangsungan sebagai satu institusi gergasi yang menaungi 112,638 keluarga peneroka di seluruh negara,” kata kenyataan itu lagi.



No comments: