TIGA CABARAN GETIR PRN BUAT PH/BN



Walaupun tarikh penamaan calon dan pengundian bagi PRN enam negeri belum lagi ditetapkan oleh SPR, kehangatan bahangnya sudah mula dapat dirasakan ketika ini.


PH/BN dan PN sebagai dua blok utama yang akan bertembung dalam PRN itu nanti didapati telah menggerakkan aktiviti masing-masing ke arah matlamat masing-masing untuk memperolehi kemenangan.


Begitu pun, disebabkan PH/BN adalah kerajaan di peringkat pusat, selain senario politik semasa agak bergelora dengan pelbagai isu, PRN nanti dilihat lebih merupakan cabaran getir buat gabungan tersebut.


Berikut adalah antara pertimbangan yang harus diambil berat oleh PH/BN, khususnya oleh Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri.


Pertama, daripada enam negeri yang akan berlangsung PRN itu – tiga negeri milik PH dan tiga negeri lagi milik Pas – berapa negeri mampu dipertahankan dan dirampas oleh PH/BN?


Apakah PH/BN mampu mempertahankan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan?


Negeri manakah yang kini ditadbir Pas – Kelantan, Terengganu dan Kedah – mampu ditawan oleh PH/BN?


Kedua, daripada 245 kerusi Dun yang dipertandingkan dalam PRN kali ini, bolehkah lebih 50 peratus daripadanya dimenangi oleh PH/BN yang merupakan gabungan kerajaan di peringkat pusat?


Oleh kerana gabungan PH/BN adalah kerajaan di peringkat pusat dan PN sebagai blok utama pembangkang, pertembungan antara keduanya dalam PRN ini tidak dapat dielakkan daripada ditafsirkan sebagai gambaran referendum tidak rasmi dari segi penerimaan rakyat kepada kerajaan dan juga prestasi Anwar selaku Perdana Menteri.


Mahu tidak mahu, PH/BN tiada pilihan melainkan perlu menang lebih separuh daripada 245 kerusi Dun dalam PRN jika mahu mengelakkan Anwar digambarkan sudah ditolak oleh majoriti rakyat.


Lebih daripada itu, jika PH/BN gagal menang lebih 50 peratus daripada 245 kerusi yang dipertandingkan, ia secara langsung akan menaikkan lagi semangat PN bagi merampas kerajaan pada PRU16 akan datang.


Ketiga, berapakah kerusi majoriti Melayu yang mampu dimenangi oleh PH/BN pada PRN nanti?


Kegagalan PH/BN memenangi lebih banyak kerusi majoriti Melayu akan memberi tafsiran gabungan itu ditolak oleh kaum majoriti di negara ini, meskipun setelah UMNO turut serta berada dalam kerajaan.


Lebih-lebih lagi jika UMNO kalah sebahagian besar atau semua kerusi yang ditandinginya, ini sekaligus memberi petunjuk paling mudah bahawa keberadaan parti itu dalam kerajaan tidak membantu menarik sokongan penduduk teras negara ini.


Hakikat ini tentu saja berbeza di ketika UMNO bersama Pas dalam Muafakat Nasional sebelum ini di mana banyak PRK ketika itu berjaya dimenangi oleh mereka.


Gabungan kerajaan yang digambarkan tidak lagi disokong oleh kaum teras atau penduduk majoriti dalam negara sudah tentu merupakan sebuah kerajaan yang tidak stabil.


Kesimpulannya, dalam PRN kali ini, sama ada PH/BN gagal menawan mana-mana negeri PN atau mengekalkan negeri yang sedia dikuasai PH, gagal mencapai kemenangan lebih 50 peratus daripada 245 kerusi Dun yang dipertandingkan serta gagal memenangi majoriti kerusi-kerusi Melayu, ia adalah suatu kekalahan dan petanda lebih buruk sedang menanti Anwar pada PRU16 akan datang.


Sebagaimana disebut pada awal lagi, penyertaan PH/BN dalam PRN ini adalah mewakili serta membawa imej kerajaan di peringkat pusat dan kekalahan bukanlah suatu pilihan, baik dalam salah satu kategori atau kesemua tiga kategori yang disebut di atas.


Semua menteri, jentera propaganda kerajaan khususnya Jkom serta Kementerian Komunikasi dan Digital harus bergerak dengan lebih gigih untuk menyampaikan maklumat, memberi penerangan, menangkis serangan dan menangkis apa jua serangan lawan bagi memastikan kemenangan benar-benar dapat digenggam.


Tidak lupa, unit media dan komunikasi PMO juga sebaiknya “jangan tidur” dan mesti berjaga sepanjang masa mulai sekarang kerana dalam PRN nanti, sudah tentu yang paling disasarkan dengan pelbagai hentaman dan balunan ialah Anwar itu sendiri.


Kalau ditakdirkan PH/BN gagal juga akhirnya, Anwar tiada pilihan lain melainkan mesti segera dan berani merombak semua struktur dan jentera yang ada bersamanya sekarang ini.


Jika tidak, Anwar sendiri hanya sepenggal saja nasibnya, malah mungkin dijatuhkan lebih awal lagi daripada itu. – ShahbudinHusin 27/06/2023.


https://shahbudindotcom.net/