Tun Mahathir Mohamad akhirnya mengotakan kata-katanya apabila memfailkan saman fitnah RM150 juta terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kerana menuduhnya memperkayakan diri, keluarga dan kroninya ketika berkuasa.
Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan di mahkamah, Tun Mahathir mendakwa Anwar, yang juga Pengerusi PH dan Presiden PKR, membuat kenyataan tidak benar dan tidak berasas dengan niat untuk menimbulkan persepsi negatif terhadapnya ketika berucap di Kongres PKR pada 18 Mac lalu.
Dalam ucapannya itu, Anwar antara lain menyebut – “Ada orang sekarang selepas 22 tahun campur 22 bulan pegang kuasa, mengeluh Melayu hilang segala-galanya, hilang harta, hilang saham.
“Bagaimana tak hilang kalau kamu bolot untuk kamu, untuk keluarga kamu dan anak-anak kamu. Sekarang hilang kuasa, bicara soal rakyat.”
Plaintif mendakwa, ucapan Anwar itu telah mencemarkan imejnya sebagai negarawan yang merupakan bekas Perdana Menteri (dua kali), reputasi sebagai ahli politik dan pemimpin yang dihormati di Malaysia dan seluruh dunia.
Tun Mahathir juga mendakwa, tuduhan itu bukan sahaja merosakkan imej dan reputasinya tetapi turut memalukan diri serta ahli keluarganya.
Berikutan itu, beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM50 juta dan ganti rugi teladan RM100 juta.
Berikutan saman itu, ada segelintir penyokong Tun Mahathir terus melompat tinggi dan seronok yang tidak bukan kepalang seolah-olah saman itu telah dimenangi dan Anwar wajib membayar RM150 juta sebagaimana yang dituntut.
Hakikatnya, bukan saja perbicaraan belum ditetapkan tarikhnya, pengurusan kes juga belum berlangsung lagi.
Sabar-sabarlah dulu beb…
Begitu pun, meneliti saman tersebut, Tun Mahathir sebenarnya sudah agak terlambat untuk mengheret Anwar ke mahkamah.
Tuduhan Anwar bahawa Tun Mahathir memperkayakan diri sendiri, anak-anak dan kroninya bukanlah perkara baru, sebaliknya telah mula diungkap dan dijaja sejak 1998 lagi sebaik beliau dipecat daripada UMNO dan kerajaan.
Sepatutnya waktu itu lagi dan ketika beliau berjawatan Perdana Menteri, saman sudah dikemukakan terhadap Anwar.
Kenapa hanya sekarang Tun Mahathir menyaman Anwar?
Apakah baru sekarang beliau sedar dakwaan Anwar itu sebagai fitnah?
Jika saman dilakukan pada waktu beliau memegang jawatan Perdana Menteri, peluang untuk Tun Mahathir memenangi kes pasti lebih tinggi kerana Anwar yang berada di luar kerajaan tentu menghadapi kesukaran untuk memperolehi bukti-bukti bagi menyokong segala dakwaannya, kecuali kalau memang benar beliau sempat melarikan berkotak-kotak dokumen sebelum dipecat pada 1998 dahulu.
Tetapi, apabila Tun Mahathir hanya mengambil tindakan undang-undang di ketika Anwar sudah menjadi jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, kelebihan dikira memihak kepada Pengerusi PH dan Presiden PKR itu.
Melalui jawatan yang dipegangnya sekarang, Anwar mempunyai akses langsung untuk mengorek dan mencari bukti-bukti terpendam di PMO dan Kementerian Kewangan berkaitan Tun Mahathir.
Takkan tak boleh jumpa satu dua bukti tentang apa yang Tun Mahathir lakukan dalam menolong anak dan kroninya ketika berkuasa dahulu?
Sebab itu, peguam Anwar dalam responnya terhadap saman itu memberitahu, Perdana Menteri akan bertegas untuk membuktikan segala-galanya di mahkamah nanti.
Dengan demikian, rasa-rasanya jangankan RM150 juta, barangkali RM1.50 sen pun payah Tun Mahathir nak dapat dalam tindakannya menyaman Anwar ini. – ShahbudinHusin 06/05/2023.
https://shahbudindotcom.net/