Dakwa ada ‘penipuan aset’ dalam Perak Corp, ADUN DAP lapor polis
KUALA LUMPUR: ADUN Keranji Chong Zhemin membuat laporan polis terhadap anak syarikat milik kerajaan Perak, iaitu Perak Corporation Berhad (PCB), susulan dakwaan wujud penipuan dalam skim penyusunan untuk pemiutang membabitkan aset kepunyaan syarikat itu.
Katanya, PCB juga tidak menyenaraikan jumlah sebenar asetnya ketika memfailkan tindakan saman pemula di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Julai 2020.
Beliau mendakwa, terdapat 12 aset lain yang tidak diambil kira. Justeru pengakuan aset sebenar PCB dan anak syarikatnya tidak dikemukakan secara benar dan betul di Mahkamah Tinggi Ipoh.
“Baru-baru ini saya telah membaca laporan tahunan PCB yang berakhir 2021 dan mendapati 13 aset PCB tersenarai dalam laporan tahunan PCB 2021 yang menunjukkan aset tersebut adalah dari tahun 1995 hingga 2017/
“Dalam senarai 13 aset tersebut hanya satu aset, iaitu pajakan negeri membabitkan mukim Bernam Timor daerah Muallim dinyatakan dalam skim penyusunan.
“Jelas 12 aset yang lain tidak diambil kira dan tidak dinyatakan dalam skim penyusunan, justeru pengakuan aset sebenar PCB dan anak syarikatnya tidak dikemukakan secara benar, betul, ikhlas dan sepatutnya di Mahkamah Tinggi Ipoh,” katanya.
Chong yang juga bekas pengarah PCB berkata demikian pada sidang media di depan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas membuat laporan di IPD Dang Wangi.
Katanya, tindakan PCB tidak menyatakan makluman membabitkan 12 aset itu kepada mahkamah pada 2020 membuktikan syarikat itu dengan sengaja, cuai, ingkar dan berniat jahat dalam menyembunyikan asetnya.
“Ia juga tidak menunjukkan nilai asetnya yang sebenar dan semasa. Saya percaya lembaga pengarah PCB melakukan perbuatan melanggar undang-undang dan berunsur jenayah dan tindakan itu perlu disiasat polis dengan kadar segera.
Pada 21 Jul 2020, PCB memfailkan tindakan saman pemula di Mahkamah Tinggi Ipoh dan pada 7 Mei 2021 mahkamah sama membenarkan skim penyusunan untuk pemiutang PCB dengan syarikat terbabit telah menyenaraikan aset kepunyaannya serta anak syarikat.
Chong turut memaklumkan, isu melibatkan PCB telah beberapa kali dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, namun tiada jawapan memuaskan diberi oleh kerajaan negeri, sebaliknya hanya memaklumkan isu tersebut diserahkan sepenuhnya kepada PCB untuk diselesaikan.
Mac lalu, DUN Perak kecoh selepas Chong mengeluarkan kenyataan yang didakwa berunsur tuduhan selepas menyatakan isu membabitkan Perak Corporation Berhad Development (PCBD) yang dikatakan sebenarnya adalah lebih besar daripada isu Movie Animation Park Studios (MAPS), yang mencatatkan kerugian RM700 juta.
“Kerugian MAPS RM700 juta telah pun berlaku, namun apa yang bakal terjadi kepada Perak Corporation Berhad (PCB) dan PCBD akan mempunyai implikasi yang lebih besar terhadap pihak kerajaan negeri,” katanya.
FMT cuba mendapatkan PCB untuk penjelasan lanjut berhubung isu itu.