Penahanan mereka yang disyaki terlibat dengan
jenayah atau kegiatan keganasan memerlukan penilaian mahkamah bagi mengelakkan
salah guna kuasa
Kerajaan pada 23 Mac ada membawa usul di Parlimen bagi
mengekalkan kuasa untuk menahan suspek tanpa bicara sehingga 28 hari di bawah
Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).
Ini diperlukan kerana kuasa untuk menahan suspek tanpa bicara akan
berakhir pada 31 Julai. Undang-undang ini memerlukan kerajaan hari ini untuk
mendapatkan persetujuan majoriti menerusi sidang parlimen setiap lima tahun
bagi menyambung penggunaan akta kejam ini. Di dalam undian usul itu, 86 ahli
parlimen mengundi untuk menentang usul, manakala 85 ahli parlimen menyokong,
dengan 49 ahli parlimen yang lain tidak hadir. Usul ini kalah dengan satu undi.
Aliran menyokong sepenuhnya 86 ahli parlimen yang mengundi untuk
menentang usul ini. Sebagai sebuah organisasi yang meraikan kebebasan,
keadilan, hak asasi serta proses yang sepatutnya, kami pastinya menolak segala
bentuk penahanan tanpa bicara.
Kuasa yang sewenang-wenangnya bagi menahan suspek tanpa mengira
tempoh masa akan mudah disalah guna, seperti yang kita saksikan menerusi akta
kejam – yang mujur sekarang ini sudah dimansuhkan – Akta Keselamatan Dalam
Negeri. Malangnya, perundangan yang menggantikannya, Sosma, juga membenarkan
penahanan cukup lama, sekaligus meletakkan tahanan berada dalam risiko untuk
didera secara fizikal atau dilayan dengan buruk ketika dalam tahanan.
Penahanan suspek melibatkan jenayah atau disyaki terlibat
kegiatan keganasan sepatutnya memerlukan penilaian mahkamah bagi mengelakkan
salah guna kuasa serta memastikan kawal imbang yang menyeluruh. Semua tahanan
perlu dibenarkan ke mahkamah dan mempunyai akses bagi wakil serta nasihat
perundangan.
Kami menggesa kerajaan untuk mengangkat hak asasi dan demokrasi
dengan tidak membentang semula usul ini. Kami juga menggesa semua ahli parlimen
untuk mengundi mengikut hati nurani serta menggunakan undi mereka untuk
meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.