By February 28, 2022
Gelombang
banjir yang melanda Kelantan khasnya di daerah bersempadan dengan Thailand
mencabar minda semua orang untuk mencari solusi menyelesaikannya. Banjir di
Kelantan seakan-akan menyamai pandemik Covid-19 yang ada gelombang satu, dua,
tiga dan seterusnya.
Masalah banjir di Rantau Panjang sudah lama diperkatakan. Sudah berdekad, tetapi sampai sekarang tidak ada jalan penyelesaiannya.
Isu
banjir di Rantau Panjang bukan soal pembalakan dan lombong haram atau perogolan
alam sekitar tanpa sistematik. Isunya kerana pembangunan, pembentungan di
Sungai Golok di pihak Thailand lebih canggih daripada Malaysia. Itu sahaja.
Sejak
kerajaan Thailand membina benteng di sepanjang Sungai Golok – Rantau Panjang
menyebabkan air melimpah ke daratan di sempadan Malaysia. Air Sungai Golok
tidak lagi terbelah dua separuh memasuki ke Thailand separuh ke Kelantan
seperti sebelum ini.
Akibat
itu maka daerah sempadan di Kelantan terpaksa menanggung jumlah limpahan air
Sungai Golok yang banyak. Itulah angkaranya.
Kalau
sebelum ini air Sungai Golok melimpah menenggelamkan kampung-kampung di
sepanjang tebing sungai itu sahaja, tetapi kini ia sudah melarat ke kampung-kampung
yang sebelum ini tidak pernah dijamah air.
Di
samping itu arus pembangunan yang berlaku juga menyumbang kepada berlakunya
banjir luar biasa. Sistem perparitan dan longkang yang ada khasnya diuruskan
Majlis Daerah (PBT) tidak begitu “kelulu”. (Baik).
Mengenai
benteng Sungai Golok / Rantau Panjang sudah lama diusahakan tetapi masih belum
siap sepenuhnya hingga ke hari ini. Projek tebatan banjir itu begitu perlahan.
Yang
kerap saya dengar ialah pengumuman. Hampir setiap tahun pemimpin dan orang
politik berkuasa mengumumkan mengenai projek berkenaan dengan nilai berbilion
ringgit. Jika tidak salah ingatan saya, sudah lebih 17 kali.
Kelambatan
ini salah satu puncanya ialah kerana Rantau Panjang khasnya dan Kelantan amnya
tidak ada pemimpin dalam konteks ini wakil rakyat yang serius dan kompeten
dalam memperjuangkan pembangunan dan juga projek untuk menyelamatkan rakyat dan
negeri.
Tidak ada
kesungguhan dan komitmen daripada mereka selain hanya bercakap dan membuat
desakan dalam akhbar atau Parlimen. Mereka lebih menjaga kedudukan dan kuasa
mereka daripada menjaga kepentingan dan maslahat rakyat.
Pendekatan
yang lebih menjamin untuk projek itu disegerakan tidak ada. Misalnya, desakan
bertubi-tubi kali atau pun inisiatif pemimpin Kelantan berjumpa berulang kali
dengan pihak di Kuala Lumpur tidak berlaku. Untuk memastikan apa juga projek
cepat dilaksanakan ia perlu juga ada sentuhan secara langsung dengan penuh
psikologi.
Saya
percaya kalau Rantau Panjang kawasan diwakili Perdana Menteri, atau Timbalan
Perdana Menteri, masalah banjir dan projek tebatan itu sudah pun selesai.
Namun,
disebabkan wakil rakyat atau pemimpin di Rantau Panjang, sangat naif daya
tindak dan fikirnya maka berlakulah masalah itu berterusan. Walaupun ada
beberapa orang wakil rakyat berjawatan menteri tetapi rata-rata mereka cap Ayam
Serama sahaja.
Apakah
rakyat Rantau Panjang terus seronok bermain air semasa banjir dan hanya berpuas
hati apabila ada pemimpin yang membawa sekampit beras, sesupik biskut tawar
bersama sekati gula.
Kalau
masyarakat Rantau Panjang sudah berpuas hati dengan bantuan yang tidak dapat
merungkai permasalahan mereka itu, maka teruslah mendukung pemimpin seperti
yang ada kini, yang bijak senyum, ramah kedai kopi tetapi akal pendek
berpandangan jarak dekat.