BANJIR DI KELANTAN: ADA WAKIL RAKYAT, TAPI CAP AYAM SAJA.

 





By  

Gelombang banjir yang melanda Kelantan khasnya di daerah bersempadan dengan Thailand mencabar minda semua orang untuk mencari solusi menyelesaikannya. Banjir di Kelantan seakan-akan menyamai pandemik Covid-19 yang ada gelombang satu, dua, tiga dan seterusnya.

Masalah banjir di Rantau Panjang sudah lama diperkatakan. Sudah berdekad, tetapi sampai sekarang tidak ada jalan penyelesaiannya.

Isu banjir di Rantau Panjang bukan soal pembalakan dan lombong haram atau perogolan alam sekitar tanpa sistematik. Isunya kerana pembangunan, pembentungan di Sungai Golok di pihak Thailand lebih canggih daripada Malaysia. Itu sahaja.

Sejak kerajaan Thailand membina benteng di sepanjang Sungai Golok – Rantau Panjang menyebabkan air melimpah ke daratan di sempadan Malaysia. Air Sungai Golok tidak lagi terbelah dua separuh memasuki ke Thailand separuh ke Kelantan seperti sebelum ini.

Akibat itu maka daerah sempadan di Kelantan terpaksa menanggung jumlah limpahan air Sungai Golok yang banyak. Itulah angkaranya.

Kalau sebelum ini air Sungai Golok melimpah menenggelamkan kampung-kampung di sepanjang tebing sungai itu sahaja, tetapi kini ia sudah melarat ke kampung-kampung yang sebelum ini tidak pernah dijamah air.



Kelantan setakat petang tadi catat tiga korban akibat musibah banjir luar jangka.

Di samping itu arus pembangunan yang berlaku juga menyumbang kepada berlakunya banjir luar biasa. Sistem perparitan dan longkang yang ada khasnya diuruskan Majlis Daerah (PBT) tidak begitu “kelulu”. (Baik).

Mengenai benteng Sungai Golok / Rantau Panjang sudah lama diusahakan tetapi masih belum siap sepenuhnya hingga ke hari ini. Projek tebatan banjir itu begitu perlahan.

Yang kerap saya dengar ialah pengumuman. Hampir setiap tahun pemimpin dan orang politik berkuasa mengumumkan mengenai projek berkenaan dengan nilai berbilion ringgit. Jika tidak salah ingatan saya, sudah lebih 17 kali.

Kelambatan ini salah satu puncanya ialah kerana Rantau Panjang khasnya dan Kelantan amnya tidak ada pemimpin dalam konteks ini wakil rakyat yang serius dan kompeten dalam memperjuangkan pembangunan dan juga projek untuk menyelamatkan rakyat dan negeri.

Tidak ada kesungguhan dan komitmen daripada mereka selain hanya bercakap dan membuat desakan dalam akhbar atau Parlimen. Mereka lebih menjaga kedudukan dan kuasa mereka daripada menjaga kepentingan dan maslahat rakyat.




Air melimpah ke daratan di sempadan Malaysia sejak Thailand membina benteng di sepanjang Sungai Golok – Rantau Panjang.


Pendekatan yang lebih menjamin untuk projek itu disegerakan tidak ada. Misalnya, desakan bertubi-tubi kali atau pun inisiatif pemimpin Kelantan berjumpa berulang kali dengan pihak di Kuala Lumpur tidak berlaku. Untuk memastikan apa juga projek cepat dilaksanakan ia perlu juga ada sentuhan secara langsung dengan penuh psikologi.

Saya percaya kalau Rantau Panjang kawasan diwakili Perdana Menteri, atau Timbalan Perdana Menteri, masalah banjir dan projek tebatan itu sudah pun selesai.

Namun, disebabkan wakil rakyat atau pemimpin di Rantau Panjang, sangat naif daya tindak dan fikirnya maka berlakulah masalah itu berterusan. Walaupun ada beberapa orang wakil rakyat berjawatan menteri tetapi rata-rata mereka cap Ayam Serama sahaja.

Apakah rakyat Rantau Panjang terus seronok bermain air semasa banjir dan hanya berpuas hati apabila ada pemimpin yang membawa sekampit beras, sesupik biskut tawar bersama sekati gula.

Kalau masyarakat Rantau Panjang sudah berpuas hati dengan bantuan yang tidak dapat merungkai permasalahan mereka itu, maka teruslah mendukung pemimpin seperti yang ada kini, yang bijak senyum, ramah kedai kopi tetapi akal pendek berpandangan jarak dekat.