Speaker benarkan debat usul Anwar berkait dakwaan Leissner di Kamar Khas

 

Azhar Azizan Harun berkata beliau tidak mahu mengganggu prosiding Dewan Rakyat, sambil menyatakan bahawa persidangan hari ini bertujuan untuk memberi tumpuan kepada usul ucapan terima kasih atas Titah Diraja. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun menerima usul Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim untuk membahaskan keterangan bekas Pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara Tim Leissner di Mahkamah Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, Azhar memberitahu beliau hanya akan membenarkan perbahasan itu dijalankan di Kamar Khas pada 2.30 petang hari ini kerana beliau tidak mahu mengganggu prosiding, sambil menyatakan bahawa persidangan hari ini bertujuan untuk memberi tumpuan kepada usul ucapan terima kasih atas Titah Diraja.

Dalam pada Anwar berterima kasih kepada Azhar kerana membenarkan usul itu, beliau menegaskan ia perlu dibahaskan di Dewan Rakyat kerana ia mendesak dan mempunyai kepentingan nasional.

“Perkara ini agak penting, mendesak dan implikasinya nasional bahkan antarabangsa dan juga imej Bank Negara Malaysia (BNM) dan maruah negara. Saya tidak fikir ia (perlu) dibawa ke Kamar Khas, ia sepatutnya dibahas di sini (Dewan Rakyat),” kata Anwar.

Mula diperkenalkan pada 2016, Kamar Khas berjalan selari dengan Dewan Rakyat dan membenarkan isu-isu berkepentingan negara atau mendesak untuk dibincangkan tanpa mengganggu prosiding biasa Dewan Rakyat. Ia juga disiarkan di televisyen untuk membolehkan media melaporkan prosiding berkenaan.

Semalam, Anwar menggesa Azhar membenarkan perbahasan mengenai dakwaan Leissner mengenai rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam institusi seperti BNM berhubung skandal 1MDB.

Leissner ialah saksi utama dalam perbicaraan bekas pegawai bank Goldman Sachs Malaysia Roger Ng, yang sedang berlangsung di Mahkamah Persekutuan Brooklyn di New York.

Dalam keterangannya pada perbicaraan rasuah bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng di New York minggu lepas, Leissner memberitahu juri bahawa BNM meluluskan pindahan tukaran mata wang asing sebanyak USD1 bilion “dalam tempoh semalaman” daripada 1MDB kepada PetroSaudi International selepas suami Zeti Akhtar Aziz, yang ketika itu merupakan gabenor BNM, “menerima rasuah untuk melaksanakannya”.

Bagaimanapun, apabila ditanya oleh pendakwa, Leissner tidak dapat mengesahkan sama ada rasuah itu telah dibayar. Suami Zeti, Tawfiq Ayman, menafikan dakwaan itu.

Leissner turut memberitahu juri dia membelikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro Rohana Rozhan rumah bernilai USD 10 juta (RM42 juta) di London pada 2013 selepas dia diugut oleh kekasih sulitnya itu untuk mendedahkan berkenaan pembabitannya dalam skandal 1MDB.

Menyifatkan 1MDB satu skandal rasuah terbesar di dunia, Presiden Amanah Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) mempersoalkan mengapa Azhar tidak mahu membenarkan usul Anwar supaya ia diperdebatkan di dalam Dewan Rakyat.

Beliau secara sinis mengaitkan keterangan Leissner dengan “kehebatan wanita Malaysia sekarang”, merujuk kepada pembelian rumah diterima Rohana.

Bagaimanapun, Azhar tetap dengan keputusan mahu membahaskan usul berkenaan di Kamar Khas.

“Wanita memang hebat sebelum ini pun Yang Berhormat. Saya setuju,” kata Azhar. “Jadi, begitulah ‘ruling’ saya, terima kasih”

No comments: