Di samping deretan kelemahan sedia ada pada Ismail Sabri Yaakob kekal terpahat menjadikannya Perdana Menteri paling gagal, malah lebih gagal berbanding pendahulunya, Mahiaddin Md Yasin, kegagalan beliau berbuat sesuatu yang meyakinkan dalam kontroversi pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki hanya menambah-terukkan lagi kedudukan dirinya di mata rakyat.
Rakyat kini ternanti-nanti apa proses siasatan seterusnya terhadap Azam Baki, meskipun sudah banyak masa berlalu.
Yang dihebohkan bahawa polis, Suruhanjaya Sekuriti dan pihak dalaman SPRM sendiri akan melakukan siasatan terhadap Azam Baki, tapi masih tidak ternampak apa-apa perkembangan pun mengenainya hingga ke hari ini.
Sebaliknya yang terserlah ialah Azam Baki masih terus bebas bercakap mempertahankan dirinya, malah sampai ke peringkat mendabik dada mengatakan hanya Agong seorang saja yang layak memecatnya.
Tak rasa diperlekeh dan dihinakah Ismail Sabri dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri melalui kenyataan Azam Baki itu, walhal beliau hanya seorang penjawat awam yang mengetuai SPRM?
SPRM adalah sebuah agensi kerajaan dan ia pula terletak di bawah dagu Perdana Menteri, tetapi Azam Baki nampaknya senang-senang melekehkan Ismail Sabri sebagai orang atasannya.
Malah keangkuhannya bercakap mengaitkan nama Agong di ketika dirinya perlu disiasat untuk menentukan kebersihannya adalah suatu pukulan paling malang kepada ketidakmampuan Ismail Sabri sendiri.
Puncanya tidak lain ialah kerana Ismail Sabri gagal bertindak dalam bentuk yang meyakinkan atau memperlihatkan dirinya adalah Perdana Menteri yang ada kuasa dalam kontroversi ini.
Kagagalan ini bukan saja memperlihatkan Ismail Sabri tiada kepimpinan dan kawalan kepada orang bawahannya, malah langsung tiada keberanian sebagai ketua kerajaan.
Sebagai Perdana Menteri, beliau bukan saja harus memastikan semua jentera kerajaan di bawah kepimpinannya berjalan dengan baik dan meyakinkan rakyat, bahkan seharusnya berani menanganinya jika ada masalah yang timbul, apa lagi jika memerlukan tindakan atau siasatan.
Lebih-lebih lagi jika agensi tersebut terletak di bawah dagunya sendiri, tindakannya menangani seharusnya lebih pantas lagi.
Sampai bila keadaan tidak menentu ini akan berterusan?
Tiada penubuhan badan bebas sebagaimana diharapkan rakyat, tiada arahan bercuti, lebih malang lagi, siasatan yang kononnya sedang dijalankan pun seperti tiada ketahuan dan perkembangan.
Apa nak jadi dengan negara kita ini?
Tahu-tahu Azam Baki pula yang lebih berani mendabik dada mengatakan hanya Agong seorang saja yang layak memecat atau memintanya berhenti dan ini seolah-olah Perdana Menteri bukan ketua yang ada kuasa kepadanya.
Lantaran sehingga ke hari ini Azam Baki seperti masih bebas daripada sebarang siasatan, sedangkan potensi kesalahannya adalah pelbagai dan rakyat amat berharap ada suatu penyelesaian, yang paling terkesan dan dilihat paling tidak berguna dalam hal ini tentunya ialah Perdana Menteri itu sendiri.
Satu-satunya siasatan yang ternampak berjalan setakat ini hanyalah oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang telah mengeluarkan sapina terhadap Azam Baki untuk hadir mengadap mereka pada 19 Januari ini.
Tetapi, jawatankuasa ini terhad peranannya dan hanya boleh menyoal saja tanpa kuasa undang-undang yang dimilikinya, bahkan tidak juga terletak di bawah ketiak Perdana Menteri.
Jika negara ini mempunyai Perdana Menteri yang berwibawa, ada kawalan dan keberanian, ketidaktentuan dan keadaan negara seperti tiada kerajaan dan tiada Perdana Menteri dalam kes Azam Baki ini pasti tidak berlaku. – ShahbudinHusin 13/01/2022.