Selamat Datang Oktober. Alhamdulillah.
MOMEN BERSAMA KAK WAN ❤️
Saya telah berkongsi momen bersama Kak Wan dalam beberapa coretan saya di FB sebelum ini.
Apabila saya diminta untuk nyatakan apa yang terlintas dalam hati dan fikiran saya mengenai seorang wanita, yang saya, antara ramai diminta memanggil dirinya, Kak Wan, perkara pertama yang saya wajib lakukan ialah jujur dengan diri sendiri.
Kak Wan seorang insan, seorang ibu, seorang wanita seperti saya dan wanita-wanita lain yang saya kenali. Kecekalan, kesabarannya sangat dikagumi, namun ada saja wanita diluar sana juga yang sangat sabar dan cekal melalui ujian kehidupan dan mereka tidak dikenali. Bersama mengharungi liku-liku kehidupan bersama seorang lelaki bergelar suami.
Saya juga pernah berbulan-bulan, berseorangan membesar anak-anak ketika suami berada di luar negara, tapi suami Kak Wan dianiaya dipukul, diterajang, dipenjara!
Saya juga pernah berjimat, mengekang nafsu kerana suami bergaji kecil, TAPI Kak Wan suaminya Timbalan Perdana Menteri Malaysia!
Saya juga pernah ditipu wang ringgit, difitnah, seperti insan lain dalam urusan dunia, TAPI Kak Wan menjadi mangsa oleh mereka yang memegang kuasa.
Lalu bagaimana saya mahu menggambarkan Kak Wan? Saya pernah membaca tentang bagaimana Saidatina Khadijah, isteri kepada Rasulullah s.a.w. seroang insan paling mulia, kekasih Allah. Saya menghayati bagaimana seorang wanita mulia berjiwa besar seperti Saidaitina Khadijah meyakini pengalaman Jibril a. s. menemui suaminya di Gua Hira.
Bagaimana beliau menyelimuti tubuh suaminya yang menggigil, tidak mentertawakan atau mempersenda pengalaman suaminya. Beliau malah membantu menemukan Baginda s.a.w. dengan ayah saudaranya yang mengesahkan kerasulan dan beriman dengan Baginda s.a.w. sehingga ke hujung nyawa. Dari seorang wanita yang kaya di kota Mekah habis hartanya dibelanja untuk perjuangan suaminya. Sentiasa disamping suami memberi kekuatan, tatkala Baginda s.a.w. dicerca, dihina, difitnah sebagai ahli sihir dan orang gila! Sedikit tidak luntur keyakinan dan kasih beliau terhadap suaminya.
Saya menghayati cerita Saidatina Khadijah, mengagumi dan mencemburui peluang yang dianugerah Allah kepadanya, ibu kepada seluruh Muslimah. Namun saya sedar bahawa Allah SWT memberi ujian sesuai dengan kemampuan hambaNya.
Saya hanya mengenali Saidatina Khadijah melalui pembacaan saya dan ia meruntun jiwa ini dan saya menyayanginya.
Allah memberi peluang kepada saya dalam hidup ini mengenali Kak Wan melalui perjuangan suaminya yang didokong saya sekeluarga. Walau tidak tinggal bersama Kak Wan tetapi momen bersamanya saya abadi sebagai pengalaman berharga. Kenapa saya dan wanita lain sebolehnya meluangkan masa untuk bersamanya setiap malam Jumaat, membaca Yasin dan solat hajat semasa suaminya di penjara? Adakah kerana kami ingin memberi kekuatan kepada Kak Wan? TIDAK!
Kamilah wanita-wanita yang ke sana menyedut aura kekuatan, kesabaran, kecekalan, keluhuran seorang wanita yang bernama Kak Wan, yang istiqamah menyokong perjuangan murni suaminya. Yang menggenggam keyakinan, yang tidak mengkhianati amanah yang dianugerah Allah kepadaNya.
Lalu bagaimana saya mahu menjelaskan apa yang terlintas dalam hati dan minda saya mengenai Kak Wan ketika saya pernah bersama walau seketika? Tubuh kecilnya, yang apabila saya peluk, penuh berhati-hati takut saya menyakiti, al maklum saya sudah membesar! 😅
Tatkala ada cerita-cerita dongeng yang berkata pemenjaraan Anwar hanyalah sekadar wayang, dan bilik penjaranya istimewa. Setiap minggu saya melihat wajah Kak Wan tenang, tidak sugul, menceritakan bila berjumpa suami, tidak boleh bersentuhan, hanya melalui cermin dan berkomunikasi menggunakan telefon. Hey Anwar Ibrahim tu bunuh siapa ya? Setiap kali berjumpa di mahkamah di kawal ketat, Anwar nak cakap pun ada pegawai penjara antara mereka!
Suami yang difitnah jijik sehingga menjadi banduan kemudian menjadi bahan tohmahan sebagai lakonan dan kepura-puraan? Tiada had kekejaman demi memuaskan nafsu yang dipengaruhi syaitan? Sehingga ada yang melempar kejian, "anak perempuan ramai, siapalah nak meminang mereka nanti?" Kak Wan cerita selamba, tiada kebencian di wajahnya. Tiada memek muka, atau terasa sedih kerana penghinaan kepada keluarganya!
Lalu apa gambaran yang wajar saya berikan kepada wanita bertubuh kecil, apabila senyum, berbaris gigi putih bersih dan menjadi kecil matanya kerana terbit senyuman dari hatinya? Tiada ketawa sinis atau angkuh menjaga statusnya sebagai Presiden parti atau selepas itu sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Pernah semasa Kak Wan berada di atas pentas semasa menyambut kemenangan DS Anwar Ibrahim di Port Dickson, saya dan rakan-rakan di bawah, melambai-lambai, Kak Wan membalas lambaian apabila nampak kami dan apabila saya membuat isyarat tangan 'love', dari atas pentas Kak Wan juga buat yang sama!
Lalu hanya satu perkataan yang muncul dalam hati saya, LUHUR. Kak Wan ibarat air yang mengalir, membersihkan segala keladak dan sampah yang dibaling ke dalamnya sehingga jernih dan terus mengalir memberi manfaat. Kak Wan yang terlintas dalam jiwa saya adalah seorang insan yang luhur. Ia tidak mudah namun ia memberi manfaat dan harapan kepada yang mendambakannya.
Keluhurannya yang saya rasai, sewaktu bersamanya memberi saya peluang untuk memperbaiki diri sendiri sehingga apabila terasa sempit, saya teringat Kak Wan yang dihimpit, apabila sesak, saya teringat Kak Wan yang dihenyak. Apabila terasa kecewa, teringat Kak Wan yang berhati waja.
Keluhuran Kak Wan adalah satu inspirasi, sesuatu yang sangat diperlukan diwaktu dan ketika ini dimana hipokrasi telah membentuk peribadi insan teramai demi mencapai impian peribadi. Kak Wan ibarat lilin yang akan dicari dan diperlukan saat terputusnya bekalan letrik dan ruang menjadi gelap.
Keluhuran Kak Wan adalah harapan kepada insan yang dilanda ketidakadilan, bingkas bangun dengan harapan dan keyakinan bahawa dalam kesulitan pasti ada kesenangan yang dijamin Tuhan.
Coretan Kak Ida Abdullah
1.10.2021