Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikecam apabila mendakwa Parlimen Bagan Datuk yang diwakilinya sejak tahun 1995 itu sebagai kawasan paling mundur di Perak.
Rata-rata warganet mempersoal apa yang Presiden Umno berkenaan lakukan sejak enam penggal menjadi Ahli Parlimen di kawasan hilir Sungai Perak itu.
Ada juga berpendapat sudah tiba masanya pengundi menukar kepada wakil rakyat lain pada pilihan raya umum akan datang.
“Enam penggal pegang Bagan Datuk. Kenapa masih mundur katanya? Kena tukar ni,” kata Tengku Saiffuddin Tengku Abdullah.
Bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut juga dipersoal memandangkan tempoh 25 tahun menjadi wakil rakyat di Bagan Datuk bukan masa yang singkat.
“Bukankah DS (Datuk Seri) wakil YB kawasan itu? Apa DS buat bertahun-tahun? Baru sekarang perasan?” tempelak Jaafar Abdullah.
Untuk rekod, Ahmad Zahid, 68, juga pernah menjadi Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Perdana Menteri sepanjang pentadbiran kerajaan BN di bawah Datuk Seri Najib Razak.
Terdahulu, Ahmad Zahid mendakwa peruntukan diterima tidak sama jumlahnya dengan ahli Parlimen lain dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Setakat ini saya menerima peruntukan sebanyak RM100,000 setahun untuk tahun 2021.
“Ahli-ahli Parlimen yang lain mendapat RM3.7 juta. Alhamdulillah, saya dapat RM100,000.
“Cukuplah untuk Bagan Datuk kawasan yang paling mundur di Perak dapat RM100,000 setahun. Saya ucapkan terima kasih atas peruntukan diberi,” sinisnya.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam wawancara di NR Channel TV, semalam.
Ayah kepada Datuk Nurulhidayah itu juga mendakwa peruntukan RM100,000 setahun juga diperoleh Ahli Parlimen Pontian, Pekan, Padang Rengas dan Machang.
“Mudah-mudahan terbukalah hati sesiapa yang buat keputusan untuk memberi peruntukan sama dengan mana-mana Ahli Parlimen yang telah mengundi Belanjawan 2021 diluluskan.
“Tiga kali kami sokong iaitu di peringkat dasar, jawatankuasa dan bacaan kali ketiga
“Tetapi hadiah yang kita dapat, Alhamdulillah peruntukan RM100,000 setahun kepada kami,” katanya lagi dalam nada sarkastik.
Pertuduhan rasuah
Turut berdepan 40 pertuduhan berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid bakal bermula 12 April nanti di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Ahmad Zahid juga sebelum ini berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit, dana milik Yayasan Akalbudi.
Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Ogos tahun lalu atas 12 pertuduhan pindaan bagi kes pecah amanah dan dua pertuduhan pindaan rasuah membabitkan dana yayasan itu.