Politik Perak: UMNO, BN tidak tolak kemungkinan penjajaran baharu - Ahmad Zahid
Umno mungkin tubuh kerajaan bersama PH di Perak, kata
Zahid
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan
menubuhkan kerajaan baru di Perak bersama Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai
DAP, Amanah dan PKR susulan kenyataan dikeluarkan Bersatu dan PAS sebelum ini.
Zahid berkata, Umno mengambil kira semua pertimbangan politik
agar kerajaan yang akan terbentuk di Perak lebih kukuh dukungannya.
“Kita tahu kenyataan Setiausaha Agung PAS dan Bersatu, jadi satu
pendekatan akan diambil oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi menentukan
pembentukan kerajaan baru,” kata ahli Parlimen Bagan Datuk itu ketika ditemui
pemberita di perkarangan Istana Kinta di Ipoh hari ini.
“Oleh itu, saya akan kemukakan cadangan nama kepada Sultan Perak
untuk perkenan Tuanku dan Tuanku yang akan tentukan secara mutlak.
“Kerana, itu kuasa Tuanku sepenuhnya bagi menentukan siapa yang
akan diperkenankan sebagai menteri besar Perak yang baru.”
Pada Jumaat, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata
parti itu menetapkan untuk tidak menyertai usaha pembentukan kerajaan negeri
Perak yang baru sementara Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin berkata,
pihaknya kesal dengan tindakan Umno menyingkirkan timbalan presiden partinya
Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar.
Zahid berkata, Umno dan BN akan melihat segala kemungkinan yang
ada, termasuk bekerjasama dengan parti-parti dalam PH seperti DAP, Amanah dan
PKR.
“Kita akan lihat semua kemungkinan. Saya sebutkan, seboleh
mungkin kita kekalkan jajaran terdahulu, tetapi kalau itu kita tidak dapat
lakukan, tentu ada penyesuaian yang harus dilakukan untuk penjajaran yang baru.
“Semua kemungkinan akan ada. Itu tertakluk kepada keputusan
muktamad oleh pihak parti,” katanya.
Zahid berkata, Umno dan BN akan melihat segala
kemungkinan yang ada, termasuk bekerjasama dengan parti-parti dalam PH seperti
DAP, Amanah dan PKR.
Zahid berkata mesyuarat Badan Perhubungan Umno Perak malam tadi
dihadiri semua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno.
“Dan, perbincangan dengan parti-parti lain di negeri Perak
diadakan oleh pemimpin-pemimpin Umno and BN Perak. Manakala saya akan adakan
perbincangan di peringkat pusat,” katanya.
Zahid berkata selepas perbincangan dapat dimuktamadkan, Umno
akan mengemukakan nama calon menteri besar Perak yang baru.
Dalam undian sulit yang dijalankan, Faizal yang juga Adun Chenderiang, hanya mendapat 10 undi, berbanding 48 menolak manakala satu berkecuali.
DUN Perak merangkumi 25 Adun BN yang kesemuanya daripada Umno, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.