1. Dengan lebihan hanya 2 undi sahaja, Speaker Dewan Rakyat ( DR ), lantikan Kerajaan PH, telah dilucutkan jawatannya.
2. Bagi pihak PH dan rakan pembangkang, isu usul pemecatan mantan Speaker tersebut adalah tidak sah dan terbatal kerana jawatan itu tidak pernah kosong ( vacant ) atau dikosongkan pada bila-bila masa sebelum hari ini.
3. Ia tidak pernah kosong kerana Speaker tidak pernah meletak jawatan atau dipecat dan beliau juga masih hidup. Logiknya , apabila jawatan Speaker itu tidak kosong, adalah tidak munasabah untuk DR melantik Speaker yang baru.
3. Oh, kata gomen tebuk atap, kami bukan nak buang Speaker, tapi kami hanya nak ganti sahaja. Baiklah, nak ganti.Tapi atas sebab apa ? Sebab mantan Speaker itu korup atau tak layak ke ? Hatta pagi ini Gomen Tebuk Atap masih guna khidmat Speaker yang mereka nak buang itu !
4. Kata YB Pasir Salak , PH kena terimalah realiti bahawa mantan Speaker itu adalah Speaker Kerajaan PH , maka PH kena terimalah hakikat bila bertukar Kerajaan kenalah juga tukar Speaker. Begitulah logika YB Pasir Salak.
Jika itulah logiknya , mereka juga sepatutnya kena terima jugalah realiti yang lain. Kena terima jugalah realiti bahawa pada 9/5/2018, rakyat negara ini telah menolak BN dan memberi mandat pada PH untuk jadi Kerajaan yang wakili mereka. Adakah anda semua ( BN dan para pengkhianat ) menerima realiti tersebut? Jika terima, kenapa perlu tebuk atap?
5. PH juga berhujah, jika sekalipun gomen tebuk atap nak sangat "pecat" mantan Speaker lantikan PH tersebut dan nak ganti speaker yang baru, maka bagilah peluang PH ++ kemuka cadangan nama Speaker dari pihak PH dan selepas itu diadakan pengundian. Ini baru adil. Orang kata itulah natural justice !
5. Gomen Tebuk Atap sebaliknya berkata jika PH++ nak kemuka calon Speaker dari PH, PH kena bagi notis 14 hari sepertimana yang dinyatakan di dalam Peraturan 4 ( 1 ) Peraturan Mesyuarat ( Standing Orders ).
Oleh kerana tiada notis 14 hari diberikan oleh PH, maka Gomen Tebuk Atap membuat anggapan meleset bahawa PH tiada sebarang cadangan balas calon Speaker lain. Itu kononnya alasan mereka. Maaf kami amat ragu alasan anda itu.
6. Sebenarnya, mereka patutnya kena tanya " kenapa PH ++ tidak hantar cadangan nama Speaker bagi pihak PH? Jawapannya mudah. PH++ tidak hantar notis bagi nama cadangan balas kerana pendirian PH adalah jelas- tiada sebarang kekosongan ( vacancy ) kerusi Speaker pada segala masa material berdasarkan Peraturan 3 Peraturan Mesyuarat. Titik.
7. Ya , hanya pada hari ini sahaja baru diputuskan secara muktamad di dalam Sidang Dewan Rakyat yang rasmi bahawa jawatan Speaker lantikan Kerajaan PH telah dikosongkan secara rasmi bila DR membuat undi mengesahkan pelucutan jawatan Speaker DR lantikan Kerajaan PH.
8. Maka, secara teknikalnya, kekosongan jawatan Speaker itu hanya berkuatkuasa pada hari ini ( 13/7/2020 ) . Ini fakta.
Oleh itu, bagi memenuhi notis 14 hari yang dinyatakan di dalam Aturan 4 ( 1 ) Peraturan Mesyuarat, logiknya pengiraaan notis 14 hari itu hendaklah dikira dari tarikh kekosongan jawatan Speaker tersebut iaitu pada tarikh hari ini ( 13/7/2020 ).
9. Adalah tidak logik untuk memberi notis 14 hari di bawah Aturan 4 ( 1 ) tersebut dalam keadaan kerusi Speaker masih wujud/tidak kosong atau isu kekosongan kerusi Speaker masih belum diputuskan secara muktamad oleh DR. Jika dah kosong lama mengapa bawa usul dan hanya baru putuskan isu kekosongan itu hanya hari ini ?
10. Maka, berdasarkan undang-undang, logik dan prinsip keadilan, mana-mana YB PH +++ sewajarnya diberi peluang untuk mengemukakan calon Speaker lain selain nama calon Speaker cadangan dari Gomen Tebuk Atap.
11. Maka sewajarnya juga sidang DR tidak diteruskan hari ini selepas DR memutuskan secara muktamad pengosongan jawatan Speaker melalui pengundian usul melucutkan jawatan Speaker yang dibawa oleh YAB PM Gomen Tebuk Atap.
Amat tidak wajar jawatan Speaker yang baru dengan tergopoh gapah hendak juga diisi secara arbitrari pada hari ini tanpa terlebih dahulu menunggu pencalonan nama Speaker dari PH ++. Ini jelas tidak adil dan sangat dicurigai "bona fide"nya.
12. Adalah menghairankan dan juga mengecewakan YB Timbalan Speaker ( Batu Pahat ) dan YB Menteri undang- undang dilihat cuba meremehkan peruntukkan undang-undang, mengabaikan proses keadilan dan mengenepikan aspek logika dalam isu Speaker ini.
والله اعلم
YB Sepang
13/7/2020