*Antara realiti realiti dalam politik Malaysia.*



Pada 3 Februari 2016, Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir meletak jawatan setelah hilang sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Ia selepas melalui undian sulit di hadapan Jemaah Pemangku Sultan Kedah dari semua ADUN Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

Pada hari 12 Mei 2020, dua ADUN PKR Kedah mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Kedua-duanya, ADUN Lunas Azman Nasrudin dan ADUN Sidam Dr. Robert Ling Kui Ee turut menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN), sekali gus menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PN) di negeri itu diketuai Mukhriz.

Umum maklum meskipun Mukhriz yang mengikut jejak bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak sehaluan dengan PN yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, prestasi anak bongsu negarawan itu dilihat masih `agak kurang’ berbanding menteri besar-menteri besar junior lain dalam PH.

Antaranya dengan Amirudin Shari (Selangor) dan yang sebelum ini dalam gabungan itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Perak).

Sepatutnya apabila masuk fasa kedua menjadi menteri besar, Mukhriz menjadi contoh kepada menteri-menteri besar PH lain sebelum ini. Pengalaman mengetuai eksekutif pentadbiran negeri harus menjadikan Mukhriz lebih cemerlang. Sayangnya tidak. Beliau masih terkontang-kanting.

Demikianlah realiti dalam politik. Begitulah Mukhriz, nasib dan ketentuan diri ibarat roda di atas. Ada masa di atas, ada kalanya di bawah.

Mana-mana pemimpin parti pun akan berbuat perkara yang sama. Lihatlah Dr. Mahathir sendiri. Bukan tidak pernah beliau buat perkara serupa. Ramai pemimpin `tersadung’ semasa pentadbiran 22 tahunnya dulu.

Tengku Razaleigh Hamzah, Anwar Ibrahim, Tan Sri Osman Aroff sehinggakan Tun Musa Hitam pun `dilanggar’ Dr. Mahathir.

Ada yang terpaksa keluar dari kerajaan atau dipecat kerana tidak dapat mengikuti kehendak dan perancangan bekas Perdana Menteri itu.

Selepas bersara sebagai PM ke-4 pada 2003, pun Dr Mahathir masih `mengejar’ Pak Lah, Datuk Seri Najib Razak. Dan kini selepas disingkirkan dari PM interim, Muhyiddin pula menjadi mangsa beliau.

Apa yang dialami Mukhriz hari ini suatu `trend’ dan `nasib’ dalam politik. Politik adalah mengenai persepsi dalam seni meraih pengaruh dan kuasa untuk mentadbir.

Setelah anda menjadi politik type-cast, persepsi itu terus berkembang dan amat susah untuk dihapuskan.

Beberapa pemimpin UMNO masa lalu dalam politik telah mengalami `slings and arrows of outrageous fortune’, mungkin seperti yang dikatakan oleh Hamlet:

“Apabila ditimpa musibah politik, akibatnya amat teruk seolah-olah membenarkan sebuah pepatah – apabila ia hujan, ianya mencurah”

Hakikatnya, keupayaan untuk berkomunikasi dengan baik, berdebat dan merencana organisasi atau kemahiran lain berguna kepada kerajaan dan parti. Semua ini menjadi relevan dalam memastikan survival seorang ahli politik, waima menteri besar.