Virus perkauman lebih bahaya daripada koronavirus
Walaupun koronavirus sedang merebak di serata dunia, di Malaysia virus ini belum mencatatkan kematian. Namun ada satu lagi virus yang lebih merbahaya, iaitu virus sentimen perkauman.
Virus tersebut jika dibiarkan berleluasa boleh membakar negara dan memecahbelahkan masyarakat. Pembawa virus korona dikuarantin di hospital malangnya pembawa virus perkauman dibiarkan bebas tanpa diambil tindakan.
Pelbagai lapisan masyarakat yang rasional beranggapan ada sesuatu yang tidak kena dengan kerajaan kerana berlembut menghadapi golongan penyebar virus kebencian.
Menurut seorang pemuda India yang mahu dikenali sebagai Prakash, kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bertindak tegas ke atas penyebar kebencian akan mengundang padah pada jangkamasa panjang.
“Virus sentimen perkauman telah disebarkan oleh puak-puak yang kalah dalam PRU14 sebab mereka tahu dengan kekalahan itu segala perbuatan jahat mahu dirahsiakan akan lambat-laun terbongkar,” katanya yang memiliki kedai barang elektrik di Kuala Lumpur.
Sebaliknya, menurut beliau, jika golongan perkauman diberi tempat maka mereka akan menang PRU 15 dan menukar Malaysia menjadi sebuah negara perkauman dan agama sempit yang menggelapkan masa hadapan Malaysia.
“Masa depan Malaysia akan malap jika Kerajaan PH gagal menangani virus ini sehingga telah menjadi satu ideologi yang terbenam dalam hati penyokong-penyokong tegar pihak pembangkang (UMNO dan PAS).
“Saya rasa pemimpin-pemimpin PH seolah-olah telah ditewaskan oleh taktik pihak pembangkang yang menggunakan isu-isu rasis untuk meraih sokongan dan ini adalah satu perkara yang amat menyedihkan.
“Saya takut pada masa PRU15 nanti, majoriti masyarakat Melayu yang telah dijangkiti oleh virus perkauman akan berpusu-pusu mengundi UMNO-BN dan kalau itu berlaku PH tetap akan kalah PRU15 sebab undi dari masyarakat bukan-Melayu tidak akan mencukupi untuk membantu PH.
“Kalau virus sentimen perkauman tidak dibendung oleh Kerajaan PH dalam setahun dua ini, maka akan terlambat untuk PH nanti,” katanya lagi.
Prakash berpendapat oleh kerana Kerajaan PH telah ditenggelamkan oleh isu-isu perkauman, urus-tadbir negara juga berserabut. Selain dari itu, tarikh peralihan kuasa untuk jawatan Perdana Menteri patut diumumkan dalam bulan Februari ini memandangkan peralihan kuasa akan dilaksanakan dalam masa lebih kurang 3 bulan sahaja lagi.