Ugut saksi, kes Lokman Adam 22 November
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 22 November ini sebagai tarikh pengurusan prosiding komital terhadap Lokman Noor Adam.
Tarikh itu ditetapkan Hakim Collin Lawrence Sequerah setelah membenarkan permohonan difailkan Peguam Negara bagi mengheret Ahli Majlis Tertinggi Umno itu yang didakwa membuat ugutan kepada saksi perbicaraan kes Najib Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Berdasarkan tuntutan, Lokman sebelum ini dilapor membuat pernyataan menghina mahkamah sebanyak dua kali.
Peguam Negara berkata pada tarikh itu (25 Sept) responden dalam temu bual video telah mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau membawa maksud untuk menggugut saksi, bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi kerana memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi.
Peguam Negara berkata beliau juga akan menyiarkan rakaman video berhubung temu bual itu pada pendengaran prosiding komital jika mahkamah memberi kebenaran kepadanya untuk memulakan prosiding berkenaan.
Beliau berkata pada hari yang sama, Lokman telah membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi yang merupakan saksi pendakwaan kelapan berkenaan keterangan yang diberikannya pada perbicaraan kes Najib.
Objektif atau tujuan tindakan responden adalah untuk mengganggu dan mengugut Amhari Efendi, saksi-saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi yang mungkin tampil untuk memberi keterangan terhadap tertuduh pada perbicaraan, kata Peguam Negara.
Sehubungan itu, pemohon mahu perintah mahkamah supaya Lokman dipenjara atau didenda atas perbuatannya itu.