Kenyataan hina mahkamah: Zahid Hamidi digesa mohon maaf


Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf kerana membuat kenyataan yang dianggap menghina mahkamah dalam ceramahnya di Tanjung Piai pada Rabu lalu. 
Terdahulu, Presiden UMNO itu mendakwa kerajaan bersikap “double standard” dalam kes jurujual wanita yang dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Johor Baharu daripada tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal lajak.
Kenyataan Zahid Hamidi itu juga dilihat cuba memberi gambaran yang salah bahawa kononnya terdapat campur tangan kerajaan dalam keputusan mahkamah tersebut. 
Tambah Kit Siang, kenyataan Zahid Hamidi itu memperlihatkan masalah kedaulatan undang-undang dan badan kehakiman di bawah pentadbiran terdahulu. 
Beliau turut menggesa calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Wee Jeck Seng menyatakan pendiriannya berhubung kenyataan Zahid Hamidi itu. 
“Jeck Seng juga harus berani untuk bersikap tegas dan menegur Zahid kerana melakukan penghinaan terhadap mahkamah dan meminta Zahid untuk menarik balik dan meminta maaf atas ucapannya yang melulu.
“Ini adalah ujian untuk membuktikan sama ada Jeck Seng berani bersuara demi kebenaran dan keadilan, tanpa rasa gentar atau memihak,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.  
Majistret Siti Hajar Ali membebaskan Sam Ke Ting, 24, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Malah, Siti Hajar berkata mahkamah mengambil kira beberapa faktor iaitu jalan yang gelap, berbukit dan berliku menyebabkan pemandu tidak dapat meramalkan bahawa akan ada kumpulan kanak-kanak di jalan raya pada jam tiga pagi. 
Tambahan pula, Majistret berkata bahawa kumpulan berbasikal itu meletakkan diri mereka dalam bahaya.