Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya, penjelasan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berhubung kenyataannya “terkontang-kanting seorang diri lawan DAP” akan diminta dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu, hari ini.
“Ya, sudah semestinya kita akan bertanya sebab-sebab yang dimaksudkan MB Perak itu,” kata beliau.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng secara jelas mengatakan tidak mahu amalan dwi standard dilakukan terhadap Menteri Besar Perak itu.
Beliau merujuk kepada Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Ronnie Liu yang diberikan surat tunjuk sebab oleh Lembaga Disiplin DAP berikutan kenyataannya sebelum ini yang mengkritik Tun Mahathir Mohamad.
Dalam erti kata lain, Guan Eng berharap setidak-tidaknya Ahmad Faizal atau Peja turut diberikan surat tunjuk sebab oleh Bersatu, sama seperti yang dikenakan DAP kepada Ronnie Liu.
Maka, apakah agaknya keputusan Bersatu terhadap Peja dalam mesyuaratnya yang akan diadakan nanti?
Diberikan surat tunjuk sebab dan diminta menjawabnya secara bertulis?
Diberikan amaran serta peringatan agar tidak mengulangi lagi di masa akan datang?
Tidak dikenakan apa-apa tindakan kerana kenyataannya itu dianggap hanya salah faham, diambil di luar konteks serta sengaja dibesar-besarkan media?
PH mengamalkan satu standard atau dwi standard? (ShahbudinHusin 11/11/2019