PRU 14 April atau Ogos BN tetap akan kalah – Ir Nizar
Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara negeri Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin berkata BN tetap akan kalah walaupun menangguhkan pilihan raya umum (PRU) ke 14 selepas Parlimen terbubar secara automatik pada Jun 2018.
Katanya, BN kini gelisah kerana pengundi Melayu luar bandar yang setia kepada parti itu mula menunjukkan perubahan arah sokongan yang ketara. Kemerosotan ekonomi, tambah Nizar, menjadikan orang Melayu berfikiran lebih kritis daripada sebelumnya.
“Kalau ekonomi negara begitu bagus, mengapakah kerajaan gagal menurunkan harga barang? Oleh itu, masyarakat Melayu mula sedar situasi masa kini.
“Mereka memberitahu saya mereka akan mengundi Pakatan Harapan (PH). Ini bererti sama ada PRU14 dibuat pada bulan April ataupun Ogos tahun depan, BN tetap akan kalah,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Nizar turut menyindir kelemahan BN yang tidak tentu arah dalam mengawal harga barang. Kerajaan menurunkan harga barang tertentu tetapi membenarkan harga barangan lain naik dalam masa sama.
“Saya perhatikan setiap kali harga minyak diturunkan, harga telur dinaikkan. Apakah maknanya ini?” sinis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering itu.
Kegagalan kerajaan BN itu, menurut Nizar, akan menyebabkan mereka menangguhkan PRU 14 selama mungkin bagi memperbaiki sokongan rakyat di peringkat akar umbi.
“Umno amat takut sekarang kerana mereka tahu semua orang, terutamanya yang miskin dan yang bergaji rendah hidup semakin susah. Dan pemimpin-pemimpin BN langsung tiada idea bagaimana hendak membantu rakyat.
“Situasi harga sudah lama berada di luar kawalan. Justeru, BN hanya boleh bergantung kepada sentimen perkauman untuk meraih sokongan.
“Strategi itu akan gagal kali ini sebab saya dapat rasakan di peringkat akar umbi sokongan Melayu semakin lama semakin beralih kepada Pakatan,” kata Nizar lagi.
“Strategi itu akan gagal kali ini sebab saya dapat rasakan di peringkat akar umbi sokongan Melayu semakin lama semakin beralih kepada Pakatan,” kata Nizar lagi.