Benarkah Khalid kedekut guna wang rakyat?
Komen Khalid itu ditujukan kepada puak yang tidak berpuas hati cara Khalid menyumbang kepada gerakan politik di Selangor. Khususnya suara kritikan dari ahli parlimen Gombak Azmin Ali dan ahli parlimen Ampang Zuraida Kamarudin.
Banyak penyokong Pakatan Rakyat terutama dari parti PAS tidak senang dengan kritikan Azmin kepada Khalid. Sedangkan mereka sendiri tidak pernah rapat dengan Khalid mahu pun dua setiausahanya Faekah dan Arfah. Atau pun tidak pernah meminta dana dari kerajaan negeri.
Khalid tangkai jering
Sesiapa yang pernah melalui pengalaman perit meminta dana dari kerajaan Selangor akan mengetahui betapa kedekutnya Khalid. Tetapi dalam perkara lain beliau tidak pula berkira.
Ambil contoh media Selangorku. Peruntukan kepada media milik kerajaan negeri ini sejak mula ditubuhkan pada 2008 telah pun melepasi RM4 juta. Gaji editor dan wartawannya bukan kecil malah hampir menyamai gaji editorial akhbar arus perdana seperti Sinar Harian walaupun keupayaan media ini terbatas. Dibanding dengan penerbitan pembangkang lain seperti Harakah dan Suara Keadilan, Selangorku menikmati ganjaran lumayan.
Bagaimanapun, bagi jentera pengedaran akhbar Selangorkini di peringkat bawahan misalnya, kerajaan Selangor tidak pula memberikan sedikit insentif kepada jentera parti bagi melancarkan edaran. Edaran terhad di masjid dan pusat khidmat. Selebihnya dilakukan oleh tenaga sukarela. Tidak salah memberi ganjaran duit minyak kepada pekerja parti untuk mengedar rumah ke rumah, terutama di kawasan Melayu yang tertutup minda untuk mengundi selain BN.
Contoh lain lebih banyak. Projek-projek yang boleh menggerakkan dana kepada gerakan politik tidak dibenarkan. Akibatnya, parti-parti politik PR terpaksa mencari derma orang ramai untuk bergerak. Kerajaan negeri boleh menggerakkan sebarang projek dan memberi modal awal kepada rakyat untuk berniaga dan dana boleh disumbangkan kepada gerak kerja kemasyarakatan. Walaupun ia melibatkan kader-kader politik namun mereka juga adalah rakyat Selangor dan tidak salah di sisi undang-undang.
Apabila sumbangan orang ramai tetap diperlukan selepas dua penggal PR mentadbir maka akan menghasilkan tanggapan tidak baik. Kebanyakan penyumbang telah menyumbang wang sejak 15 tahun lalu ketika Anwar Ibrahim ditahan oleh rejim Mahathir. Mereka menyumbang wang paling banyak pada 2008 untuk memastikan BN Selangor tumbang.
Selepas BN tumbang, mereka hanya menikmati air percuma dan sedikit bantuan kebajikan. Tentulah apabila diminta menyumbang kewangan akan timbul persoalan sampai bilakah mereka perlu membiayai parti-parti dalam PR di Selangor?
2013 momentum Putrajaya
Lebih buruk lagi jika Khalid atau exco yang dilantik mempercayai rakyat Selangor berpuas hati dengan perkhidmatan mereka kerana itu diberi majoriti besar. Memang bagi kaum Melayu, Cina dan India bandar mereka berpuas hati dengan kerajaan pentadbiran Khalid kerana mudah berurusan dengan jabatan di bawah kerajaan negeri tanpa rasuah.
Tetapi bagi pengundi Melayu sub bandar majoriti besar yang diberi adalah kerana momentum Putrajaya. Selepas mereka menjatuhkan BN di Selangor mereka ingin melihat Anwar menjadi PM. Suasana akan berlainan jika pada PRU lalu Khalid berkempen untuk mempertahankan Selangor. Berkemungkinan pada 6 Mei yang memisahkan PR dan BN hanya dua kerusi DUN sahaja atau pun kalah terus.
Oleh itu teguran Azmin dan Zuraida ada benarnya. Setiausaha Khalid seperti Faekah dan Arfah menapis banyak program juga ada benarnya. Malah telah menjadi rahsia umum media Selangorku menyekat beberapa tokoh politik PKR dari diberi ruang penyiaran dalam media milik kerajaan negeri itu.
Khalid yang masuk penggal kedua pentadbirannya wajar meneliti kelemahan dan kekurangan yang beliau lakukan dalam penggal pertama. Teguran Azmin dan Zuraida serta beberapa ADUN lain tidak sepatutnya dipandang sepi.
PRU 14 tidak sama. Dengan persempadanan baru kawasan pilihan raya Selangor dijangka tumbang. Jika Khalid meneruskan kedegilannya maka pecahan kawasan yang banyak mengutamakan kaum Melayu akan menguburkan PR Selangor.
Khalid perlu lebih terbuka. Terutama dalam mengambil hati orang Melayu. Media Selangorku tidak berjaya di kawasan Melayu yang menyaksikan kawasan seperti Sabak Bernam, Kuala Selangor, Sungai Besar, Tanjung Karang, Hulu Selangor terus menjadi kubu kebal BN.
Kawasan itu pastinya dipecahkan menjadi lebih banyak DUN untuk memenangkan BN pada PRU 14. Jadi janganlah kedekut dengan kawasan seperti itu dan jangan terlalu tertutup dengan cadangan pembaharuan, lebih-lebih lagi dari puak Azmin - Zuraida.
Pentadbiran Khalid perlu diperbaiki untuk menjanjikan kemenangan berterusan PR pada PRU akan datang.