OKU mengengsot serah memorandum kepada JKM Kulim

OKU mengengsot serah memorandum kepada JKM Kulim

(Oleh: Masdar Wahid)
KULIM 6 OKT: Seorang Orang Kelainan Upaya dari Kumpulan OKU Setia Kulim nekad mendaki tangga dengan mengengsot kerana mahu menyerahkan sendiri memorandum kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di daerah itu hari ini.

Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran berkata, OKU itu, dikenali sebagai Gnana Pragasan, 53 berbuat demikian  selepas Pengarah JKM Daerah Kulim enggan menemui  mereka dan menunggu lebih sejam.


OKUKatanya, memorandum itu berhubung kemudahan OKU di pejabat JKM berkenaan yang didakwa tidak memuaskan hingga menyusahkan mereka untuk berurusan.
Selain itu, kata Surendran, mereka juga mendakwa elaun antara RM150 hingga RM300 dipotong, serta layanan pegawai JKM yang disifatkan kurang mesra.


“Pada mulanya lebih 50 OKU berkumpul di bawah (pejabat JKM Kulim) untuk menemui Pengarah JKM Kulim yang berada di tingkat atas.

“Selepas menunggu hampir sejam, seorang dari mereka nekad mengengsot dengan mendaki satu demi satu anak tangga sambil menggigit memo itu.


“Pegawai JKM dikenali sebagai Rohana hanya membuka pintu beberapa ketika selepas OKU itu berjaya naik ke tingkat satu dan menerima memorandum tanpa memberi respon mengenainya,” katanya yang menyifatkan tindakan JKM itu sebagai zalim.


Katanya, Gnana terpaksa menggunakan tangga disebabkan tiada lif dan kemudahan laluan untuk kerusi roda ke tingkat satu pejabat yang terletak di Kompleks Bangunan Majlis Perbandaran itu.


Sehubungan itu, Surendran berkata beliau akan membangkitkan insiden itu pada sidang parlimen 21 Oktober ini dan kumpulan itu juga bersedia untuk hadir.