Tarik subsidi: Awas harga minyak akan naik


KUALA LUMPUR, 6 Okt: Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang semakin pasti menjanjikan beban ekonomi rakyat akan bertambah parah, kata kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Ketika membidas kenyataan ulangan dari pihak kerajaan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan selepas pilihan raya ini, beliau berkata, bukan cukai itu sahaja yang akan dipaksakan malah lebih banyak subsidi ditarik dan harga minyak akan naik jika BN menang pilihan raya.

"Bukan GST sahaja yang akan dipaksakan. Jangan lupa, awal-awal lagi (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Seri Idris Jala sudah memberi amaran bahawa Malaysia akan bankrap atau muflis pada 2019 jika subsidi berterusan.

"Amaran itu adalah isyarat yang sangat jelas bahawa BN akan menarik lebih banyak subsidi dari rakyat termasuk subsidi minyak yang dengan sendirinya bermakna harga minyak akan naik," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Kenaikan harga minyak pula, katanya, akan mengakibatkan kesan berantai kepada kenaikan harga barangan lain.

"Itulah bencana yang akan ditempuh oleh rakyat jika BN menang lagi dalam pilihan raya akan datang," Salahuddin mengingatkan.

Hari ini, ketika ditanya mengenai rang undang-undang yang akan membuka laluan kepada GST, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz tidak menolak cukai itu akan dipaksakan selepas pilihan raya.

"Mungkin selepas pilihan raya, apa-apa sahaja mungkin," katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata: "Persoalannya ialah masa. Saya berpendapat apabila tiba masanya, dalam masa terdekat... kemungkinan selepas pilihan raya akan datang, kami akan memperkenalkan GST".

Sambil memberitahu bahawa GST tidak dimasukkan dalam belanjawan Pakatan Rakyat, Salahuddin mengingatkan, keinginan kuat kerajaan BN untuk memaksakan GST dan menarik balik lebih banyak subsidi sudah berulangkali dinyatakan oleh mereka.

"Perdana Menteri sendiri pernah kata, antara langkah kerajaannya untuk memperkukuh aliran pendapatan ialah memperkenalkan GST.

"Sebab itulah, rakyat mesti membuat pilihan sama ada hendak tersiksa di bawah GST dan kenaikan harga barang atau menolak BN ," katanya sambil berkata bayangan ngeri itu belum lagi mengambil kira berleluasanya rasuah sehingga Umno disebut parti perasuah oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri.

Rakyat, kata Salahuddin, hendaklah sedar bahawa kerajaan BN semakin ketara tidak mempunyai kemampuan untuk menjana pendapatan negara selain membebankan rakyat dengan pelbagai cukai seperti GST, menarik balik subsidi malah memperbanyakkan pelbagai saman ke atas rakyat.

Dalam ulasan terhadap pendapatan kerajaan baru-baru ini, professor ekonomi antarabangsa di Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCIEF), Prof Datuk Dr Mohamed Ariff berkata, pendapatan kerajaan tidak selaras dengan pertumbuhan ekonomi dan keadaan itu membimbangkan jika berlaku lagi krisis ekonomi.