PETALING JAYA 10 APRIL : Jawatankuasa Disiplin Parti Keadilan Rakyat mencadangkan Majlis Pimpinan Pusat PKR memecat 12 individu yang bertanding sebagai calon bebas kerana didakwa membantu parti lawan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Displin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong, keputusan ini penting bagi mempertahankan kepentingan dan imej parti itu.
"Keputusan ini selaras dengan Fasal 18 Perlembagaan parti.Keputusan ini penting untuk mempertahankan kepentingan dan imej parti kerana tindakan bertanding sebagai calon bebas dan membantu parti lawan adalah tindakan khianat kepada perjuangan KEADILAN dan Pakatan Rakyat ," kata Tan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
"Keputusan ini berkuatkuasa serta merta," tambahnya lagi.
Mereka yang bertanding sebagai calon bebas ialah Soo Lina di Batu Lintang, Cobbold anak Lusai di Batu Ringin, Kiprawi bin Suhaili di Belawai, George anak Langgong di Pelagus, Michael Jok dan Kenneth Adan Silek di Belaga, Liam Anak Rengga di Kemena, Michael Ding Tuah di Marudi dan Jok Ding yang bertanding di Telang Usan.
Sementara itu, Jonson Chong dari cabang Kelana Jaya, Paul Kadang anak Dinggat dari cabang Saratok dan Hasrul Muhaimin Hasbi dari cabang Alor Setar didapati membantu parti lawan dalam kempen pilihan raya ini.
Rakyat Sarawak akan membuang undi untuk 71 Dewan Undangan Negeri pada 16 April ini dan ia sekali gus memusnahkan hasrat Barisan Nasional untuk mendapat kemenangan percuma pada PRN kali ini.