𝗥𝗠𝗞𝟭𝟯: 𝗧𝗘𝗥𝗜𝗠𝗔 𝗞𝗔𝗦𝗜𝗛 𝗪𝗔𝗥𝗚𝗔 𝗞𝗘𝗠𝗘𝗡𝗧𝗘𝗥𝗜𝗔𝗡 𝗘𝗞𝗢𝗡𝗢𝗠𝗜







Saya belum sempat menelaah perkataan demi perkataan setiap muka surat dalam dokumen RMK13 yang dibentangkan hari ini. 


Namun, berdasarkan ringkasan eksekutif yang saya baca setakat ini, saya gembira kerana hampir 95% dari yang dibangunkan sepanjang proses berjalan sehingga saya meletak jawatan, kekal dalam RMK13.


Semua reformasi besar yang melibatkan perubahan sistem pendidikan, struktur ekonomi, tumpuan kepada perkara-perkara baru seperti agenda negara menua dan membangunkan sektor ketiga - semuanya dikekalkan.


Disamping itu, rekayasa ekonomi yang telah dimulakan sebelum ini - dari NETR, KL20, JSSEZ, “Made by Malaysia”, beralih ke ekonomi berasaskan “consumption powerhouse”, CCUS dan yang telah dibangunkan dan belum diumumkan seperti Zon Pelaburan Pelancongan Khas (STIZ) - semuanya ada.


Begitu juga beberapa hasil kerja kami di Kementerian Ekonomi yang banyak tentangan sebelum ini, termasuklah pelaksanaan “anti red tape act” (ILTIZAM) dan akta mengharamkan amalan Ali Baba, semuanya dikekalkan.


Insya Allah, saya akan ulas satu persatu dalam tempoh seminggu akan datang. Izinkan saya menelaah setiap muka surat terlebih dahulu.


Saya dijangka akan berbahas mengenai RMK13 hari Isnin atau Selasa depan, seterusnya podcast YBM minggu depan (Jumaat, 8 Ogos) saya akan bersama-sama Dr Muhammad Khalid untuk mengupas RMK13 dengan lebih mendalam.


Sepanjang Ogos ini, saya juga akan mengupas sektor/bab satu persatu, untuk berkongsi perkara-perkara dasar yang perlu diketahui rakyat.


Maka selesailah satu tanggungjawab besar yang saya dan rakan-rakan di Kementerian Ekonomi pikul sejak November 2022, iaitu merangka perancangan masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.


Saya ucap terima kasih dan tahniah kepada semua warga Kementerian Ekonomi, dari KSU, TKSU-TKSU, pasukan RMK13 hinggalah kakitangan sokongan, yang bertungkus lumus menyediakan dokumen ini selama 20 bulan.


Tugas mereka lebih mencabar akibat ura-ura rombakan yang perlu dibuat di saat akhir.


Alhamdulillah, akhirnya ura-ura itu hanya reaksi politik sahaja, bermakna kepimpinan Kementerian Ekonomi berjaya mempertahankan supaya perancangan jangka masa panjang negara jangan dicampur aduk dengan hiruk pikuk politik.


Habis satu tugas, kita semua ada tugas yang baru iaitu memastikan perancangan ini dilaksanakan dengan cekap, sesiapa pun menjadi kerajaan.


Doa saya rakyat jua yang akan mendapat manfaat di masa akan datang.



No comments: