Pusat perkhidmatan sehenti di Johor, tingkat aliran dagang Singapura-Malaysia


 

Oleh: Helmi Mohd Foad



Sebuah pusat perkhidmatan dan pelaburan sehenti akan diwujudkan di Johor sebagai salah satu inisiatif utama dalam meningkatkan aliran rentas sempadan selaras dengan perjanjian mewujudkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) hari ini.



Dalam kenyataan bersama, pusat sehenti itu diwujudkan bagi tujuan memudahkan proses permohonan untuk pelbagai kelulusan dan lesen yang diperlukan untuk perniagaan di kawasan zon ekonomi tersebut.



Inisiatif tersebut antara perkara yang bakal dilaksanakan susulan pemeteraian MoU pelaksanaan JS-SEZ oleh Malaysia dan Singapura hari ini untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi membabitkan kedua-dua negeri itu.



MoU berkenaan ditandatangani oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura, Gan Kim Yong sambil disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya Perdana Menteri Lee Hsien Loong.



"Di bawah MOU itu, Malaysia dan Singapura akan berusaha ke arah meningkatkan aliran rentas sempadan barangan dan orang ramai serta mengukuhkan ekosistem perniagaan dalam JS-SEZ untuk menyokong pelaburan.



"JS-SEZ bergerak atas pertumbuhan kukuh Johor dan pelaburan besar di rantau ini oleh Singapura. Johor merekodkan pelaburan bernilai RM70.6 bilion pada 2022 merentasi pelbagai sektor termasuk elektrik dan elektronik, peralatan perubatan, makanan, pusat pembuatan dan data," kata kenyataan bersama itu hari ini.



Kenyataan bersama itu berkata, pusat perkhidmatan sehenti juga melibatkan proses penerimaan dan pelaksanaan pelepasan kod QR tanpa sistem pasport di kedua-dua belah pihak.



Jelasnya langkah tersebut bagi memudahkan pelepasan lebih cepat orang ramai di pintu masuk utama dan penggunaan proses digital untuk pelepasan kargo di pusat pemeriksaan darat.



Kedua-dua negara juga akan menganjurkan forum pelaburan untuk mengumpul maklum balas daripada perniagaan di Singapura dan Malaysia di JS-SEZ selain memudahkan kerjasama tenaga boleh diperbaharui dalam zon ekonomi itu.



Pemeteraian MoU itu dilakukan selepas dua bulan Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia pada Oktober lalu sekali gus menguatkan hubungan dan jawatankuasa bersama yang sudah lama terjalin oleh kedua-dua negara bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi.



Dalam kenyataan bersama tersebut, kedua-dua negara bersetuju untuk bekerjasama bagi melaksanakan sepenuhnya perjanjian berkaitan JS-SEZ dan menyediakan laporannya kepada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11.



"Singapura merupakan pelabur asing kedua terbesar di Johor dari Januari hingga Jun 2022 dan menyumbang sekitar 70 setiap peratus kepada pelaburan langsung asing Johor dalam sektor pembuatan," katanya.



Sementara itu, Rafizi berkata JS-SEZ menyediakan peluang untuk meningkatkan aliran rentas sempadan barangan dan manusia, memperkukuh ekosistem perniagaan dan meningkatkan daya tarikan ekonomi Johor dan Singapura.



"Saya mempunyai keyakinan penuh bahawa inisiatif ini akan mempamerkan permulaan kepada transformatif ekonomi dua hala kita, memupuk keterkaitan dan kemakmuran yang tiada tandingan bagi kedua-dua negara," ujarnya.



Kim Yong pula berkata, JS-SEZ menggariskan bentuk kejayaan yang Singapura dan Malaysia boleh capai apabila kerajaan dan komuniti perniagaan saling bekerjasama rapat.



"Ia akan berfungsi sebagai jambatan untuk kedua-dua pihak berkongsi kekuatan yang saling melengkapi dan merebut peluang untuk berkembang bersama.



"Saya berharap perjanjian JS-SEZ dapat memberikan faedah untuk perniagaan dan rakyat," katanya.



Malaysia dan Singapura memiliki perdagangan kedua terbesar antara satu sama lain sebagai rakan kongsi perdagangan dua hala dengan pertumbuhan berkembang 18.9 peratus dari tahun ke tahun kepada S$153 bilion pada 2022.



Singapura juga merupakan sumber utama pelaburan langsung asing Malaysia yang menyumbang 20.5 peratus kepada jumlah FDI negara pada 2022.



*Foto kredit: Afiq Hambali/PMO

 

No comments: