SIRI JELAJAH ‘BEBASKAN’ NAJIB KERJA SIA-SIA?


Malam semalam telah berlangsung siri pembukaan jelajah yang dikatakan untuk memperjuangkan “keadilan” buat bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun di Penjara Kajang.


Jelajah kali pertama diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur dengan hanya dihadiri kira-kira 400 orang.


Tiga anak Najib iaitu Mohd Nizar, Mohd Nazifuddin dan Nooryana Najwa berkongsi pentas dalam program yang bertema “Demi Najib, We Stand by You”, tetapi tiada seorang pun pemimpin UMNO yang hadir.


Walaupun program itu disebut bertujuan untuk memberi penjelasan berhubung “ketidakadilan” yang didakwa diterima Najib dalam perbicaraan kes SRC International, tetapi adalah jelas bahawa matlamat sebenar jelajah tersebut ialah untuk membebaskan bekas Perdana Menteri itu.


Ia berikutan penganjur turut meminta para hadirin menandatangani dua petisyen berasingan iaitu pertama, yang ditujukan kepada Yang di Pertuan Agong untuk memohon pengampunan diraja dan kedua, meminta Perdana, Menteri Anwar Ibrahim membuat rombakan terhadap sistem kehakiman negara yang didakwa sebagai tidak adil.


Kedua-dua petisyen tersebut tidak lain adalah bermatlamat agar Najib dibebaskan dalam waktu terdekat ini, terutamanya petisyen pertama.


Meskipun adalah hak keluarga Najib untuk mengadakan siri jelajah tersebut, waima setiap minggu sekali pun hingga ke seluruh negara, tetapi apa yang dilakukan itu hampir merupakan kerja sia-sia dan buang sama saja.


Secara hukum akal, adalah sukar apa yang diingini boleh membuahkan hasil.


Pertama, dakwaan bahawa Najib tidak diberi keadilan agak subjektif sifatnya kerana beliau telah melalui semua proses keadilan dalam mahkamah – Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan – malah juga melalui semakan kehakiman atas keputusan yang telah dijatuhkan kepadanya.


Daripada semua proses yang dilaluinya itu, keputusan hakim secara keseluruhannya ialah 13-1.


Adakah majoriti sebegitu boleh dianggap tidak adil?


Kedua, berikutan didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC International, anak syarikat 1MDB, Najib dikenakan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta.


Beliau mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2023.


Bermakna, Najib ketika ini baru setahun lebih saja menjalani hukuman penjara daripada 12 tahun hukuman yang diterimanya.


Jadi, di mana logiknya untuk mendesak pengampunan diraja diberikan kepadanya?


Setidak-tidaknya atau kebiasannya, perlu menjalani satu pertiga hukuman penjara terlebih dahulu sebelum ada kewajaran permohonan pengampunan dikemukakan.


Mudah kata, sabar dululah!


Ketiga, Najib juga masih ada tiga kes lain yang sedang dihadapinya berkaitan 1MDB.


Tiga kes berkenaan ialah berkaitan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB, pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM27 juta.


Dalam hal ini, bagaimana seseorang yang masih ada kes mahkamah yang belum selesai, malah ada kaitan dengan kes yang telah dijatuhi hukuman, tiba-tiba mahu diberi pengampunan?


Tidakkah ia hanya akan memberi gangguan kepada kes yang belum selesai itu?


Cukup dengan tiga alasan di atas saja, sebarang usaha untuk membebaskan Najib buat ketika ini – apa lagi hanya melalui siri jelajah kecil-kecilan – senang cakap – hampir mustahil hasil yang positif mampu diperolehi. – ShahbudinHusin 29/10/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/10/29/siri-jelajah-bebaskan-najib-kerja-sia-sia.html



No comments: