Ilmu “dunia” tak ada nilai di akhirat?


Nik Hasyudeen



Apabila saya menulis bahawa Bill Gates yang dikatakan gagal menamatkan pengajiannya di universiti Harvard tu sebenarnya pandai dan memilih untuk menjadi usahawan teknologi dari meneruskan pelajarannya, adalah orang komen apalah nilai ilmu keduniaan tu? 


Saya tak pelik dengan komen sebegini kerana biasanya orang yang tidak memiliki sesuatu akan cuba merendah-rendahkan orang yang memiliki perkara bekenaan. Ini juga adalah satu kesilapan yang besar di dalam memahami kenyataan Allah di dalam surah Az-Zariyat ayat 56 yang biasa kita dengari itu yang membawa maksud jin dan manusia dicipta untuk beribadah kepada Allah.


Di dalam memahami maksud ibadah secara yang meluas ini, saya selesa dengan pandangan Ibnu Taimiyyah yang membawa definisi “Ibadah adalah suatu istilah yang mencakup segala sesuatu yang dicintai Allah dan diredhaiNya, baik berupa perkataan mahu pun perbuatan, yang tersembunyi mahu pun yang nampak”.


Oleh kerana kita ini hamba Allah 24/7/365, setiap keputusan dan tindakan kita selain dari ibadah khusus seperti solat, zakat, haji, berzikir, berselawat dan seumpamanya juga kena menjadi ibadah. Oleh yang demikian, penciptaan perisian komputer seperti yang dilakukan oleh Bill Gates, sekiranya dilakukan oleh seorang yang beriman akan masuk juga ke dalam definisi ibadah. Ini adalah kerana perisiannya membolehkan manusia melakukan pelbagai pekerjaan halal yang juga adalah tuntutan agama.


Bila dah kaya seperti Bill Gates, orang yang beriman demikian akan membayar zakat yang wajib, memberi sadaqah dan menubuhkan wakaf. Bill Gates tu ada yayasan yang membantu umat manusia di dalam pelbagai bidang. Yang perlu kita doakan ialah sampai iman kepada dia.


Apabila hamba Allah diberikan kedudukan, dia akan membuat keputusan dan mengambil tindakan yang bersesuaian dengan jawatan berkenaan. Jika jawatannya ialah menjaga harta umat Islam, maka segala polisi pelaburan, kawalan dalaman, pengurusan risiko dan analisa pasaran akan diwujudkan. Itu semua adalah sebahagian dari ibadah yang menggunakan ilmu-ilmu “dunia”. Banyak mana perkara-perkara ini yang menggunakan teknologi bagi membolehkan keputusan dan tindakan yang tepat dibuat dengan cepat.


Saya mengambil panduan dari syarahan Ustaz Kariman Abdul Muen (playlist disertakan di ruangan komen” yang menerangkan bahawa di dalam Al Quran yang tercela ialah sifat “kehidupan di dunia” dan bukan dunia. Di antara asas kepada perkara ini ialah ayat 20 surah Al Hadid:


اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ


Ketahuilah bahawa kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah PERMAINAN dan HIBURAN serta PERHIASAN, juga BERMEGAH-MEGAH di antara kamu serta BERLUMBA-LUMBA membanyakkan harta benda dan anak pinak.


Sifat-sifat di ataslah yang dicela, bukannya “dunia” seperti yang difahami oleh sebahagian dari ahli masyarakat. Segala harta, ilmu, kebujaksanaan, kemahiran dan seumpamanya boleh kita gunakan untuk mendapat cinta dan redha Allah. Lagi banyak kita ada lagi tinggi potensinya asalkan kita mampu mengawal diri dari “kehidupan di dunia” seperti yang disampaikan melalui ayat 20 yang saya rujuk di atas.


Persoalan kepada kita ialah mengapa kita menghadkan “agama” di dalam bidang-bidang yang sempit? Bila diberikan kedudukan dan jawatan, kita fokus untuk hebat di dalam bercakap dan berucap sahaja, bukannya menyelesaikan masalah dan melaksanakan amanah jawatan berkenaan? Semua orang kita salahkan kecuali kita? Bukankah jawapan kita kepada Allah SWT apabila dihisab ialah segala apa yang dilakukan di sini, pada hari ini?


Kita perlu memperbetulkan kefahaman kita ke atas “dunia” dan “kehidupan di dunia” agar kita tidak mudah menafikan kejayaan orang lain apabila kita gagal untuk mempamerkan apa-apa. Jangan pula kita nak turunkan Islam yang tinggi ke tahap kita yang kucar kacir dan berserabut ini. 


والله أعلم




No comments: