ANWAR TAK USAH BIMBANG, UMNO TAK AKAN BERANI TARIK SOKONGAN


Terdapat kecenderungan yang ketara sejak kebelakangan ini untuk segelintir penyokong Najib Razak memberi semacam ugutan kepada Anwar Ibrahim dalam kes pengampunan bekas Perdana Menteri itu.


Mereka tidak ragu-ragu menyatakan Anwar akan menjadi Perdana Menteri terpendek dalam sejarah jika pengampunan Najib tidak menjadi kenyataan dalam waktu terdekat ini.


Mudah kata, ia bermakna UMNO akan menarik sokongan sekiranya Najib tidak segera dibebaskan.


Beberapa hantaran di media sosial daripada mereka yang diketahui penyokong kuat Najib amat jelas mengenai perkara itu.


Malah, blogger dalam buangan, Raja Petra Kamaruddin mengatakan penarikan sokongan itu akan berlaku seawal 28 April ini (tak dipastikan apa relevannya tarikh berkenaan).


Katanya, melalui pengampunan yang diusahakan UMNO terhadap Najib, ia adalah kata dua kepada Anwar sama ada memastikannya menjadi kenyataan atau sedia kerajaan perpaduan ditumbangkan.


Seorang pemimpin UMNO yang juga penyokong kuat Najib, beberapa kali menghubungi saya untuk meyakinkan perlunya Najib dibebaskan dalam waktu terdekat ini demi untuk kestabilan kerajaan dalam jangka panjang.


Beliau juga menyebut bahawa Anwar berada dalam kedudukan bahaya jika gagal mendorong atau berusaha ke arah pengampuan penuh Najib.


Soalnya, benarkah UMNO berani menarik sokongan?


Secara umumnya, yang pertama ialah kerajaan perpaduan terbentuk melalui sokongan 148 Ahli Parlimen – PH 82, BN 30, GPS 23, GRS 6, Warisan 3, PBM 1, PKDM 1 dan Bebas 2.


Ini bermakna, kalau UMNO atau BN membawa keluar 30 Ahli Parlimennya kerana marah disebabkan pengampunan Najib tidak menjadi kenyataan, kerajaan perpaduan masih lagi mempunyai 118 Ahli Parlimen.


Jumlah itu sudah lebih daripada majoriti paling minima yang diperlukan untuk mengekalkan kerajaan iaitu 112 sokongan Ahli Parlimen.


Melainkan jika UMNO memang mahu jadi pembangkang, maka adalah “cerdik” kalau ia bertindak menarik sokongan itu.


Yang kedua, penarikan sokongan UMNO hanya akan berjaya menjatuhkan kerajaan jika ia turut disertai oleh GPS dan GRS.


Adakah GPS dan GRS mahu keluar daripada kerajaan atau mampukah UMNO meyakinkan Abang Johari Abang Haji Openg dan Hajiji Noor mengikut jejak mereka meninggalkan kerajaan, sedangkan kedua-dua gabungan mewakili Sabah dan Sarawak itu sudah memperolehi banyak manfaat daripada kemurahan hati Anwar sebagai Perdana Menteri?


Yang ketiga, penarikan sokongan UMNO terhadap Anwar yang jika diandaikan turut disertai GPS dan GRS, ia hanya sekadar berjaya menjatuhkan kerajaan tetapi tidak cukup jumlah untuk membentuk kerajaan baru.


Untuk membentuk kerajaan baru, mereka mesti mencari PN yang sekarang mempunyai 74 Ahli Parlimen.


Dalam hal ini, oleh kerana PN mempunyai jumlah Ahli Parlimen paling ramai, kerajaan baru yang mahu dibentuk nanti pastilah akan diketuai oleh PN atau Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri.


Sediakah UMNO berketuakan Mahiaddin semula, walhal sebelum PRU15 dulu, UMNO jugalah yang menarik sokongan dan menjatuhkan Pengerusi PN itu lalu membuka peluang kepada Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri?


Apakah jika Mahiaddin kembali jadi Perdana Menteri, nasib Najib dan Zahid Hamidi kemudiannya akan jadi lebih baik?


Berdasarkan semua itu, meskipun barangkali Anwar terus berdepan tekanan, beliau tidak harus bimbang atau gundah gulana kerana UMNO mengikut logiknya, tidak mungkin berani atau sedia meninggalkan kerajaan perpaduan ini.


Bahkan, jika UMNO secara sendirian berani menarik sokongan, Anwar boleh pula mendekati Pas dan Bersatu untuk masuk dalam kerajaan bagi mengukuhkan lagi erti dan nilai perpaduan ke arah lebih inklusif.


Akhirnya, akan melopong teruslah UMNO terkontang-kontang sendirian sebagai pembangkang.


Dalam hal ini, apa yang Anwar perlu lakukan ialah bertindak selari dengan kemahuan majoriti rakyat dalam isu pengampunan Najib, selain teruskanlah konsisten tanpa kompromi atau mengalah dalam komitmen memerangi rasuah. – ShahbudinHusin 13/04/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/04/13/anwar-tak-usah-bimbang-umno-takkan-berani-tarik-sokongan.html


No comments: