Perjalanan jauh untuk mendapatkan keadilan

 


NIK HASYUDEEN



Perjalanan jauh untuk mendapatkan keadilan

Mengikut laporan audit forensik Projek LCS, Boustead Naval Shipyard (BNS) dijangka mengalami kerugian sebanyak RM 890 juta. Ini disebabkan bayaran palsu, kontrak bertindih, tuntutan berganda, variasi kontrak dan pembelian barangan yang sepatutnya sudah diterima.

Oleh kerana BNS dimiliki oleh Boustead Holdings yang sebahagian besar sahamnya dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), anggota tentera dan pesara tenteralah di antara mangsa utama kebobrokan yang berlaku di BNS ini.

Tentunya orang akan bertanya secepat manakah orang-orang yang bertanggungjawab ke atas kerugian ini akan didakwa di mahkamah? Walaupun sudah ada seorang bekas pekerja didakwa di atas kesalahan berjumlah RM 21 juta, tentunya ramai orang beranggapan bahawa kerugian yang mendekati bilionan ringgit ini akan melibatkan lebih banyak jerung-jerung besar.

Walaupun sudah ada laporan audit forensik, ianya tidak cukup sebagai asas pendakwaan. Ada beberapa langkah lagi yang perlu diambil sebelum penjenayah yang terlibat dibawa ke pengadilan.

1. Dapatan laporan ini perlu disiasat terlebih dahulu oleh badan penguatkuasa yang berkenaan bagi mengumpul bukti dan saksi. Ini tentunya memerlukan penyiasat-penyiasat yang benar-benar pandai menyiasat dan mengambil tanggungjawab untuk melaksanakan kerja mereka dengan penuh amanah. Keadilan kena dipentingkan berbanding dengan keselamatan kerusi yang mereka duduki.

Jika kita ingat, sebelum tahun 2018 kes-kes 1MDB dan SRC dianggap suci. Malah, orang-orang yang menyiasat pula yang ditekan dan ditukarkan ke bahagian kerajaan yang menyebabkan penyiasatan tergendala. Hanya selepas pertukaran kerajaan, siasatan dihidupkan kembali dan seorang penjenayah di dalam kes SRC sudah dipenjarakan manakala kes 1MDB yang tersohor di serata dunia masih berjalan.

2. Pihak Peguam Negara sebagai Pendakwaraya kena berpuas hati bahawa bukti dan saksi yang mencukupi sudah ada bagi mendakwa di bawah peruntukan undang-undang yang ada. Bukti bagi kes jenayah ialah “melangkaui keraguan yang munasabah”.

Kes juga kena dirangka (frame) dengan bijak berdasarkan bukti-bukti dan saksi-saksi yang ada oleh pendakwaraya yang pintar dan komited, bukannya dari pertuduhan dah nak nampak macam nak kalah. Mungkin inilah sebabnya bagi kes 1MDB dan SRC, pendakwa dari luar (V Sithambaram dan Gopal Sri Raj) digunakan sebagai pendakwaraya utama, bukannya dari Jabatan Peguam Negara. Ni macam misteri jugak ya.

Satu lagi halangan ialah corak di kebelakangan ini yang mana Peguam Negara mengkompaun kes-kes jenayah termasuk di bawah pengubahan wang haram dan jenayah sekuriti. Orang yang membayar kompaun, walaupun berjuta ringgit, tidak dikira sebagai penjenayah dan masih layak menduduki jawatan awam termasuk menjadi menteri.

3. Hakim-hakim yang mengendalikan kes mestilah benar-benar berkemampuan, bebas dan adil. Kita tentunya sudah dapat melihat bagaimana proses mahkamah digunakan untuk melambat-lambatkan perjalanan kes.

Melambatkan kes bukannya tak ada kesan ke atas keadilan. Saksi boleh meninggal dunia macam kes di Pulau Pinang. Kita pun tahu ingatan akan menjadi lemah jika masa sudah lama berlalu. Ada satu kes yang melibatkan jenayah sekuriti semasa krisis kewangan Asia di akhir tahun 90an yang masih berjalan sehingga hari ini.

4. Peranan saksi-saksi di dalam perbicaraan juga penting. Semalam ada seorang saksi yang menafikan dia tahu apa yang dia pernah nyatakan di dalam kenyataan bersumpahnya sebelum ini. Ini tentunya akan memberi kesan kepada pihak pendakwaraya.

Di dalam kes rasuah yang dianggap “menang-menang” kerana yang menyuap dan disuap dapat apa yang mereka mahukan, salah seorang dari mereka perlu menjadi saksi kerajaan. Jika tidak, siapa yang nak buktikan rasuah berlaku? Ni pun boleh jadi kompleks juga.

Dari penjelasan di atas, keadilan bukanlah satu perkara yang datang begitu sahaja. Ramai manusia yang diberikan kedudukan di dalam rantaian keadilan (justice value chain) ini perlu melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang mereka tanggung dengan penuh jujur. Sistem yang digunapakai mestilah berkesan. Laungan dan seruan tidak akan menjadikan sistem berubah dengan sendirinya.

Allah SWT telah mengharamkan kezaliman dan kita sebagai umat Islam kena berusaha supaya sistem keadilan kita benar-benar berfungsi. Jangan pula kita membiarkan kezaliman kerana penjanayah yang terlibat kita anggap mulia. Bagaimana pula dengan mangsa jenayah seperti kes SRC dan juga BNS ini? Mereka tak penting hanya disebabkan kita tak kenal muka-muka mereka?

Jadi, kita bukan sahaja perlu mengekalkan sistem keadilan yang berkesan tetapi kena menambah baik setiap aspek agar orang-orang yang melakukan kesalahan dan jenayah dihukum dengan adil, tak kira siapa mereka dan kedudukan mereka di dalam masyarakat.

Sudah tentu kita akan disoal oleh Allah SWT di akhirat berkenaan peranan kita di dalam menjadikan bumi Allah ini bumi yang adil dan tidak ada manusia yang dizalimi. Satu undi yang diberikan di dalam pilihanraya bukanlah perkara yang kecil di dalam membentuk sistem keadilan di dalam negara kita ini. Jangan main-main dengan undi anda.