Jentera pilihan raya KEADILAN perlu memanfaatkan kehadiran 28%
pertambahan pengundi baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac ini.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Wilayah
Persekutuan, Zahir Hasan, Undi 18 dan Undi 21 yang berjumlah lebih 700,000 itu
akan menentukan kemenangan dan Pakatan Harapan (PH) perlu mendapatkan sokongan
mereka.
"Terdapat 749,000 pengundi baharu. Bersamaan pertambahan 28%.
Jumlah ini hasil kita bentangkan pindaan Perlembagaan pada 2019 lalu. Bermakna
ini telah diusahakan oleh PH yang membolehkan 2 perkara iaitu usia 18 tahun
boleh mengundi dan mereka layak mengudi secara automatik.
"Bagi pengundi baru ini, fikir betul betul dan kritikal
terhadap calon untuk diundi agar dapat memastikan masa depan Johor dan masa
depan negara. Keputusan PRN ini akan sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan
PRU depan," katanya dalam Forum Jalan Terus: "PRN JOHOR : Bencana
Politikus Terdesak" anjuran Studio KEADILAN, malam tadi.
Menurut zahir lagi, rakyat Johor tidak boleh dibohongi alasan
kononnya Kerajaan Negeri tidak stabil dengan 27 kerusi DUN kerajaan dan 27 DUN
pembangkang lalu DUN dibubarkan.
Rakyat, katanya, amat maklum tujuan utama PRN diadakan adalah bagi
mendapatkan 2/3 majoriti kepada BN dan selepas itu mereka boleh meluluskan apa
sahaja dalam sidang DUN.
"Mantan MB Johor kata itu (kedudukan kerajaan - pembangkang)
menyusahkan mereka. Kita jelas PRN dibuat demi kepentingan mereka.
"Untuk elit politik (pemerintah ini) kalau dulu kita ada
kleptokrasi, oligarki, kali ini ada istilah plutokrasi. Iaitu mereka yang mewah
mengawal negara dan menguasai Umno. Kalau tak percaya tengok mesyuarat Majlis
Tertinggi Umno dan lihat kereta jenis apa yang datang untuk mesyuarat, semua
kereta mewah.
"Apabila mereka ini mentadbir negara maka mereka guna
kemewahan itu untuk mentadbir
"Di Johor, punca PRN adalah kerana Umno BN nak pastikan
kekayaan itu diteruskan. Mereka mahukan majoriti 2/3 agar boleh buat apa saja
mereka suka tanpa semak imbang dari pembangkang," katanya.
Tegas Zahir, rakyat jangan termakan propaganda Umno BN kononnya
sokongan rakyat telah kembali kepada mereka dan sebab itu perlu diadakan PRN.
Sebaliknya, kata beliau, rakyat Johor seharusnya berusaha menjatuhkan BN untuk
membuktikan teori berkenaan tidak tepat.
"Hakikatnya rakyat hadapi keperitan tetapi PRN masih disyorkan
Umno. Kemenangan Umno di Melaka mencetuskan fikiran mereka untuk membina
momentum. Kita perlu ingat pertambahan sokongan Umno di Melaka hanya 0.3%
sahaja tetapi Umno memainkan propaganda kononnya gelombang kebangkitan rakyat
mahukan Umno.
"Oleh itu, saya menyeru 2.6 juta pengundi Johor perlu
mencipta sejarah. Kalau Umno dilahirkan di Johor, maka saat ini perlulah
keruntuhan Umno juga bermula di Johor," katanya lagi.